fbpx
Nur Farah Izzati (tengah) bersama ibu bapanya pada Majlis Konvokesyen UPM ke-49, hari ini.

‘Rezeki luar biasa, dapat emas sukan Judo dan tamat pengajian’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SERDANG – Aktif dalam bidang sukan bukan penghalang buat seorang graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk menamatkan pengajian dan menggenggam Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dengan Kepujian.

Graduan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Nur Farah Izzati Wallah, 24, bukan sahaja menamatkan pengajian dengan penuh bergaya, malah mengharumkan nama Malaysia apabila meraih pingat emas pertama dalam acara judo pada ASEAN University Games (AUG) 2024.

“Saya sendiri tidak sangka menang emas. Saya hanya berharap dapat menyumbang pingat, tetapi Allah beri rezeki yang luar biasa. Segala pengorbanan akhirnya berbaloi,” katanya ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen UPM ke-49 di sini, hari ini.

Bukan sahaja judo, malah Farah turut aktif dalam sukan ragbi selain mengikuti Kor Sukarelawan Polis (Kor Suksis). Dia mula berkecimpung dalam judo sejak tingkatan satu sebelum meneruskan latihan secara profesional di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI).

Katanya, disiplin tinggi, pengorbanan masa dan pengurusan jadual yang teliti diperlukan dalam pengajian serta kokurikulum.

“Saya sentiasa ingat pesan ayah tentang ketegasan dan disiplin, selain ketabahan ibu. Nasihat itu yang saya pegang sepanjang tempoh pengajian dan latihan,” jelasnya.

Katanya, kemahiran profesional dalam jurusan komunikasi turut digunakan dalam kehidupan seharian.

“Apabila saya menguruskan program atau berkomunikasi dengan pihak luar semasa latihan industri, saya sedar kemahiran yang saya belajar di FBMK sangat relevan.

“Perkara yang saya lakukan di gelanggang seperti disiplin, fokus dan strategi selari dengan apa yang dituntut dalam dunia komunikasi profesional,” katanya.

Menurutnya, tanggungjawab sebagai pelajar dan aktif kokurikulum turut membentuk ketahanan mental dan kematangan diri sebagai graduan dan atlet.

“Ada hari saya betul-betul penat. Tapi saya ingat kembali tujuan saya. Setiap cabaran adalah proses pembentukan karakter. Selagi niat kita baik, Allah permudahkan,” ujarnya.

Sokongan daripada keluarga, rakan-rakan dan jurulatih selain mendengar podcast (audio siar) ilmiah, dia turut meluangkan masa bersendirian bagi membantu memulihkan mental dan emosi sepanjang tempoh mencabar tersebut.

Katanya, kejayaan hari ini didedikasikan kepada ibu bapanya, rakan seperjuangan, jurulatih dan pensyarah yang sentiasa memberikan dorongan.

“Berilmu dan berbakti bukan sekadar motto, tetapi cara hidup. Segala yang kita pelajari dan lalui di UPM sama ada di kelas, gelanggang atau dalam masyarakat, semuanya membentuk siapa kita hari ini,” katanya. –KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI