DALAM usaha mengeratkan hubungan antara kakitangan, pengguna dan masyarakat serta menyemai semangat kelestarian, kedai Shin Hup Hing Motor di Permatang Tinggi, Pulau Pinang baru-baru ini mengadakan aktiviti konvoi dengan misi menanam pokok di kawasan sekolah.
Sebanyak 30 buah motosikal jenis Yamaha model moped dengan anggaran lebih 50 peserta telah bergerak ke Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Puyu, Butterworth untuk menjayakan misi itu.
Menurut Pegawai Pemasaran Iza Syakira Nor Hasimi, sekolah tersebut terpilih sebagai lokasi kerana aktif melaksanakan pelbagai usaha berasaskan kelestarian alam sekitar.
“Pemilihan ini juga sejajar dengan matlamat untuk memupuk kesedaran tentang kepentingan penjagaan alam sekitar dalam kalangan komuniti setempat dan warga sekolah.
“Aktiviti sebegini juga dapat mengeratkan hubungan sesama peserta dan membentuk semangat serta menghargai fungsi tumbuhan hijau bukan sekadar mencantikkan suasana, tetapi memberi keseimbangan alam semula jadi,” ujarnya kepada CitaRasa.
Aktiviti yang berlangsung pada 19 Oktober lalu itu bermula sekitar pukul 7.30 pagi apabila semua peserta berkumpul di Yamaha Star Centre, Shin Hup Hing Motor di Permatang Tinggi untuk tujuan pendaftaran.

Setelah sesi taklimat tentang prosedur keselamatan konvoi, kaedah menanam pokok, mengecat dan pembahagian tugas selesai, peserta kemudian ke destinasi utama.
Perjalanan mengambil masa kurang satu jam itu akhirnya tiba di lokasi penting iaitu SK Sungai Puyu dan memulakan proses menanam pokok serta mengecat sekitar pukul 10.30 pagi.
“Pembahagian tugas dan penjelasan mengenai kawasan menanam dibuat lebih awal agar masing-masing memahami tugas mereka dan tidak berlaku salah faham.
“Dianggarkan sekitar 50 batang pokok telah ditanam di kawasan sekolah berkenaan,” katanya.
Program tanam pokok dan mengecat itu turut dihadiri Guru Besar SK Sungai Puyu, Aini Najwa Othman; Pengarah Shin Hup Hing Motor Sdn. Bhd., Khor Kok Loon dan Khor Kok Chin; kakitangan Shin Hup Hing Motor, ahli Grab Riders Penang dan Komuniti MT-15 Penang.

Iza Syakira memberitahu, program kemudian berakhir sekitar 12 tengah hari dan peserta konvoi berangkat ke kedai Kaksu Kitchen untuk menikmati hidangan makan tengah hari sebelum bergerak ke Petronas Cubprix Racing bagi sesi bergambar dan penyampaian cenderahati.
Menurut Iza, aktiviti-aktiviti konvoi yang dianjurkan kedai tersebut bukan sekadar bertujuan mengeratkan hubungan sesama pelanggan mahupun bertukar pandangan tentang sukan permotoran, tetapi juga bagi menanam rasa cinta kepada alam dan membantu golongan yang memerlukan.
Sebelum ini kumpulan konvoi berkenaan pernah mengadakan majlis berbuka puasa bersama anak yatim dan aktiviti pembersihan serta mengutip sampah di Jeti Batu Musang, Batu Kawan.














