PETALING JAYA – UEM Group Berhad (UEM Group) telah mencadangkan kepada UEM Edgenta Berhad (UEM Edgenta), anak syarikat yang dimilikinya dengan pegangan 69.14 peratus, untuk melaksanakan pengurangan modal terpilih dan pembayaran balik (Cadangan SCR).
Di bawah Cadangan SCR tersebut, para pemegang saham yang layak akan menerima RM1.10 dalam bentuk tunai bagi setiap saham biasa yang dipegang.
Tawaran harga RM1.10 setiap saham bagi baki 257 juta saham, atau pegangan 30.86 peratus merangkumi premium sebanyak 26.4 peratus berbanding harga saham dagangan terakhir UEM Edgenta iaitu 87 sen pada 27 November 2025, dan premium 38.5 peratus berbanding harga purata berwajaran volum bagi tempoh enam bulan iaitu 79 sen.
Jumlah bayaran keseluruhan tunai adalah bernilai RM282 juta.
Penerimaan dan rekomendasi berhubung Cadangan SCR berkenaan oleh Lembaga Pengarah UEM Edgenta kepada pemegang saham yang layak adalah terbuka sehingga 9 Januari 2026.
Setelah Cadangan SCR itu dimuktamadkan, UEM Group akan menjadi pemegang saham tunggal dalam UEM Edgenta, sekaligus menjadikan UEM Edgenta sebagai anak syarikat milik penuh mereka.
UEM Group dalam satu kenyataan hari ini berkata, Cadangan SCR bertujuan untuk memacu pertumbuhan dan mengukuhkan prospek jangka masa panjang syarikat.
“Meskipun kemajuan telah dicatatkan dalam usaha menstabilkan operasi teras dalam persekitaran pasca-pandemik yang mencabar, prestasi kewangan keseluruhan UEM Edgenta masih kurang memberangsangkan berbanding sewaktu pra-pandemik, antara lain disebabkan oleh kenaikan kos operasi.
“Cadangan SCR ini juga menawarkan fleksibiliti yang lebih meluas bagi UEM Edgenta dalam menetapkan hala tuju strategik, melaksanakan inisiatif strategik dan menguruskan perniagaan mereka yang pelbagai secara lebih berkesan.
“Ini akan meletakkan syarikat dalam kedudukan yang lebih baik untuk menguruskan sumber secara lebih cekap di samping menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran secara lebih baik, sekaligus merintis jalan ke arah mewujudkan sebuah model perniagaan yang lebih berkesan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














