fbpx
Tangkap layar rakaman kejadian ribut kuat dan laut bergelora di Port Dickson malam tadi.

[VIDEO] Ribut Tropika Senyar ‘mengamuk’ di Port Dickson

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Beberapa rakaman video tular di media sosial sejak malam tadi memaparkan keadaan laut di perairan Port Dickson, Negeri Sembilan yang bergelora teruk susulan hujan lebat berterusan sejak malam tadi.

Menerusi rakaman berdurasi 21 saat itu, kelihatan ombak besar menghentam kawasan pantai dengan angin kuat seakan Ribut Tropika Senyar ‘mengamuk’ sehingga menyebabkan air laut melimpah ke bahagian pesisir.

Keadaan cuaca ekstrem itu turut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk sekitar dan ada yang berkongsi keadaan rumah mereka rosak susulan ribut kuat malam tadi.

“Rumah saya dekat Port Dickson habis bumbung banyak bocor. Tak tidur dari semalam fikirkan rumah penuh air. Doakan saya,” kata Atie MJ.

“Melaka pun ribut teruk dengan aingin kuat, hujan lebat lagi. Memang tak boleh tidur semalaman. Kuat sangat bunyi angin,” kongsi Hajinah.

Sementara itu, beberapa pengguna media sosial turut mengingatkan para nelayan agar menangguhkan sebarang aktiviti menangkap ikan atau turun ke laut buat sementara waktu bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

“Jangan ada yang degil ke laut, bahaya sangat. Takut ada kes orang hilang, bot karan atau sebagainya,” pesan Mukriz.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan Ribut Tropika Senyar dikesan berada pada Latitud 3.6 darjah Utara dan Longitud 100.4 sarjah Timur, iaitu kira-kira 94 kilometer ke Timur Laut Tanjung Balai, Indonesia, dan dijangka bergerak ke arah timur dengan kelajuan 9km/j selain boleh mencapai kelajuan angin maksimum sehingga 46 km/j.

Kata MetMalaysia, keadaan itu boleh menyebabkan hujan lebat berterusan, angin kencang dan laut bergelora di Pantai Barat Semenanjung Malaysia bermula malam tadi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN