fbpx

Demi Terlalu Bodoh, Ara Johari 2 kali ke Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUCHONG – Demi kepuasan, penyanyi Ara Johari mendedahkan sanggup terbang semula ke Indonesia bagi merakamkan sekali lagi lagu baharunya, Terlalu Bodoh sebelum balik ke Kuala Lumpur pada hari sama.

Ara atau nama lengkapnya, Nurfarrah Izzatie Johari, 28, berkata keputusan tersebut dibuat selepas merasakan nyanyiannya tidak sampai ke jiwa selepas mendengar semula hasil rakaman di sebuah studio di Jakarta, September lalu.

“Saya bukanlah ‘perfectionist’ tetapi selepas mendengar nyanyian saya untuk lagu ciptaan komposer seberang, Ilham Baso itu sekembali ke tanah air, rasa macam ada kurang sesuatu.

“Macam kurang galau. Penghayatan ada, cuma tak sampai. Saya mahu Terlalu Bodoh meresap ke sanubari pendengar sebaik mengikutinya Kali pertama.

“Jadi usai berbincang dengan pasukan, saya terbang semula ke Jakarta untuk merakamkan lagu itu selepas tiga minggu. Kami balik pada hari sama. Apa pun keputusan ini berbaloi,” katanya ketika ditemui pada majlis pertemuan dengan peminat, semalam.

Ara yang mengakui karya tersebut merupakan kesinambungan dari lagu berhantunya juga nukilan komposer sama iaitu Menjaga Jodoh Orang Lain, berkata kisah putus cinta yang diketengahkan cukup dekat dengan pengalaman peribadinya.

Menurut Ara, galau atau sedihyang sering diangkat dalam karya bukan sekadar memenuhi selera pendengar, tetapi hadir daripada realiti yang pernah dilaluinya.

“Semua orang pernah rasa sakit, pernah menjaga jodoh orang lain dan pernah rasa jadi bodoh kerana cinta. Saya pun sama dan pernah melalui fasa itu.

“Saya bagi usaha berlebihan sehingga tak sedar diri hanya dipergunakan tapi semua itu jadi pengajaran untuk kita memilih pasangan lebih baik selepas ini,” ujarnya.

Berharap dapat memberi amaran kepada mereka yang terperangkap dalam hubungan toksik, kata Ara jika tidak ‘lari, kesannya mampu mengganggu emosi seseorang.

“Alhamdulillah, saya tak pernah berada dalam hubungan toksik dan minta dijauhkan. Ini juga membabitkan kesihatan mental dan kita tak boleh biarkan emosi terganggu.

Berkenaan frasa bodoh, tambahnya dalam konteks lagu, perkataan itu bukan berupa cacian, sebaliknya persoalan terhadap diri sendiri ketika berdepan kekecewaan dalam percintaan.

“Bodoh itu bukan kata-kata menghina atau makian, tapi lebih kepada pertanyaan kepada diri sendiri. Adakah aku terlalu cinta atau sebenarnya aku kurang bijak?” katanya.

Terlalu Bodoh edaran Universal Music Malaysia sudah berada di semua platform penstriman bermula 19 November lalu.

Terdahulu single popularnya, Menjaga Jodoh Orang Lain yang dilancarkan pada 30 Julai 2024 mencatat 75 juta pendengar di pelantar strim dan YouTube. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN