fbpx
Tengku Zafrul ketika menjawab soalan tambahan dari Yuneswaran di Dewan Rakyat hari ini. FOTO JAPEN.

Dewan Rakyat: MITI labur RM250 juta pacu automasi, AI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kerajaan menerusi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) terus menggesa syarikat tempatan khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) beralih kepada teknologi pintar dan automasi bagi meningkatkan daya saing serta menghasilkan nilai tambah lebih tinggi.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata sehingga kini kira-kira 1,200 syarikat telah terlibat dalam pelbagai program transformasi digital melalui dasar utama seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Industry4WRD.

“Tahap pembangunan teknologi ini diukur berdasarkan penyertaan syarikat-syarikat kita dalam program yang disediakan.

“Melalui dana Industry4WRD, pelaburan bernilai sekitar RM150 juta telah diluluskan melalui MIDA, manakala Geran Automasi Pintar membabitkan kira-kira 120 syarikat dengan jumlah hampir RM100 juta,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Yuneswaran Ramaraj (PH–Segamat) mengenai jumlah syarikat yang telah melaksanakan transformasi digital, termasuk penggunaan teknologi pintar, automasi dan kecerdasan buatan (AI) sejak suku akhir 2023.

Menurut Tengku Zafrul, MITI turut menyediakan pelbagai kemudahan melalui agensi seperti SIRIM, MATRADE dan MIDF, termasuk skim pembiayaan mudah bagi automasi dan pemodenan.

“Ini skim pinjaman mudah bagi automasi dan pemodenan, dan Insya-Allah ia akan membantu syarikat tempatan kita,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kerajaan juga giat memperkukuh bidang strategik seperti pusat data, rangkaian berprestasi tinggi serta pembangunan penyelidikan dan reka bentuk litar bersepadu (IC).

“Malaysia turut memperkenalkan Visi Silikon, yang memberi fokus kepada pembangunan cip AI buatan Malaysia. Kerjasama strategik dengan ARM Limited membolehkan syarikat tempatan mengakses harta intelek (IP) ARM, sekali gus mempercepat pembangunan cip AI tempatan.

“Kerajaan juga terus menggalakkan pembangunan teknologi AI tempatan yang berpotensi menembusi pasaran global,” katanya.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN