‘KE tepi, ke tepi, gergasi sudah kembali.’ Bait dalam lagu Fanatik itu paling tepat menggambarkan konsert GenKRU The Finale: One More Time malam Sabtu lalu yang kembali menyatukan ribuan pencinta KRU daripada pelbagai generasi, terutama khalayak yang membesar dalam aura kegemilangan mereka.
Kali ini, Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil bergema, dihimpit lebih 10,000 peminat, meskipun baru setengah tahun trio bersaudara itu menutup tirai konsert sebelumnya.
Tidak keterlaluan jika dikatakan, KRU memiliki magnet yang tiada tolok bandingnya, sekali naik pentas, gelombangnya sukar dipadam.
Konsert final tersebut bukan setakat mencipta sejarah peribadi buat trio bersaudara itu, bahkan pecah rekod menjadi penghibur lokal yang merealisasikan enam konsert mega dalam setahun.
Tepat jam 8.30 malam, susuk tiga bersaudara itu disambut gema suara penonton, tanda rindu sudah memuncak. Masing-masing tampil dengan gaya tersendiri menerusi tiga persalinan seragam mengingatkan aura kemunculan awal mereka, kemas, ‘fashionable’, futuristik dan tetap memiliki DNA KRU.

Persembahan ‘on top’
Konsert dimulakan dengan medley Fobia, Salah Siapa, membuka denyut adrenalin sebelum diteruskan dengan Awas, Mengerti dan deretan hit yang pernah mencipta badai fenomena seperti Kena Marah Pun Tak Kisah, Sampai dan Voodoo sebagai santapan terbaharu.
KRU juga menyuntik nafas segar dalam susunan muzik, lebih moden, namun masih menjaga roh asal yang membuat lagu-lagu itu kekal hidup dalam ingatan kolektif peminat.
Bagaimanapun, konsert tidak lari daripada sedikit ‘kesilapan’ apabila gangguan teknikal berlaku. Mujur Yusry pantas memegang kawalan dengan matang, tenang, profesional menjadikan insiden tersebut tidak merosakkan momentum.
Dengan koleksi lagu popular yang melimpah, KRU tidak perlu menunggu ke hujung persembahan untuk menghidangkan ‘peluru berat’.
Mereka terus menolak had, melantunkan lagu-lagu besar dari awal hingga akhir, membuat penonton enggan kembali duduk.
Sorakan memuncak apabila Intifada berkumandang dan lebih manis apabila didendangkan bersama kumpulan Rabbani sebagai artis jemputan.
Gabungan dua nama besar itu menjadikan stadium terkaget seketika ‘momentarily’, kemudian bergema sorakan penonton yang larut dalam lirik perjuangan dan semangat solidariti.
Tidak berhenti di situ, Norman, Yury dan Edry memecut masa lalu dengan deretan pop rancak seperti Sayang, Oh La La, Emilia dan Apa Saja iaitu lagu-lagu yang pernah menguasai corong radio suatu ketika dahulu. Instrumen, vokal dan visual bersatu membina sebuah jambatan ke era keemasan industri muzik pop.
KRU menghidupkan bahang dengan lagu-lagu wajib yang membuat penonton bangun berdansa seperti Negatif, One More Time, Dilema dan Sayang-Sayang Gerenti Beres. Pada segmen tersebut, mereka mengundang pempengaruh Leona, anak kepada Azhar Sulaiman yang merupakan bekas model dalam video Janji Tinggal Janji.
Turut hadir, Datuk Seri Vida, memberi warna tersendiri kepada pentas yang sedia meriah. Kemunculan paling dinanti-nantikan tentu sahaja Datin Juliana Banos, tampil duet bersama Edry melalui Sehidup Semati.

Dua dekad menyepi selepas mendirikan rumah tangga, penonton akhirnya menatap semula bekas Dewi Remaja 1998/1999 itu di atas pentas mega.
Kejelitaannya kekal memukau, vokalnya masih rapi, namun sayang sekali, Juliana hanya menyanyikan satu lagu dan terus beredar tanpa sepatah bicara, meninggalkan peminat dalam rasa tidak puas.
“Memang kami sengaja sorok Rabbani untuk beri kejutan. Tetapi untuk Juliana, pengumuman dibuat awal supaya merancakkan konsert.
“Proses pujuk Juliana makan masa berbulan. Sepatutnya dia ikut kami ke Singapura pada Jun, tapi sebab teknikal, tak jadi. Syukur dia setuju naik pentas malam ini,” kata Norman pada sidang media usai konsert.
Aura energetik terus membadai gelanggang ketika konsert memasuki fasa kemuncak. Deretan lagu Freaky G, dan Remaja Selamanya memecut semula nadi penonton bagai enggan memberi ruang walau sesaat untuk menarik nafas.

Tenaga maksima
Malam semakin memuncak, namun trio bersaudara itu terus memerah kudrat seolah-olah masa tidak pernah mengejar mereka.
Sorakan melangit sejak awal persembahan tidak luntur walau sedikit, wajah-wajah setia di hadapan pentas terus menyerap sisa tenaga terakhir untuk diberikan kembali kepada KRU.
Hubungan dua hala itu mencipta gelombang adrenalin yang mengalir tanpa henti. Norman dan Yusry, dua figura yang kini sudah menjangkau separuh abad usia, namun masih tangkas menari lincah mengikut rentak lagu.
Keupayaan Norman mengekalkan rap pantas, bersih dan tepat membuktikan dirinya bukan hanya nostalgia hidup.
Kemudian tibalah dua lagu wajib ‘sing along’ iaitu Jangan Lafazkan dan The Way We Jam. yang membuatkan ribuan penonton berdiri tanpa perlu diarahkan.
KRU merasuk seluruh stadium, membuat setiap individu melompat, menggoyangkan kepala, menjerit lirik seperti dada tidak mampu menahan gelombang kenangan lampau.
Momen tersebut bagai upacara kerohanian pop, tempat peminat menyerahkan jiwa kepada idola tersayang.
Emosi dipanjangkan dengan Tiga Kata Untukmu. Di tengah corak lampu suram, wajah Edry kelihatan sebak, mungkin kerana memikirkan kondisi bapanya yang kurang sihat.
Penonton turut terkesan melihat seniman yang biasanya tegar itu mengusap hati sendiri di hadapan ribuan mata. Yusry pula mengharungi detik pilu ketika menyanyikan Dekat Padamu. Air wajahnya jelas mempamerkan syukur, mengenang kesetiaan peminat sejak era kaset hingga zaman digital kini.

Segmen khas memperlihatkan setiap ahli tampil solo, kejutan disusun bagi menawarkan kelainan dan masing-masing membawa cita rasa sendiri tetapi tetap mengekalkan DNA muzik KRU yang sudah menjadi identiti nasional.
Untuk penutup rasmi sebelum encore, lagu Fanatik membuktikan tiada generasi baharu dapat meniru fenomena peminat ‘sefanatik ‘pemuja bakat mereka yang hidup dalam jiwa mereka sendiri.
Pertunjukan bunga api pula mencantikkan penutup malam menerusi Terhangat di Pasaran dipanaskan kehadiran Adam. Persembahan lebih tiga jam itu bagaikan mengunci diari 2025 dengan tinta emas, menghadiahkan peminat sebuah konklusi berskala mega.
Melihat kepada obsesi peminat, sama ada yang fanatik atau ikut-ikutan, KRU tetap punya harapan indah untuk ‘one more time’ untuk kembali lagi dengan konsert ‘terhangat di pasaran’ tahun akan datang.
















