KUALA LUMPUR – Kumpulan Enda Group Sdn. Bhd. melalui sayap perniagaannya popularnya di bawah jenama Siti Khadijah, bakal membuka dua lagi butik terbaharunya pada bulan depan termasuk di sebuah pusat beli-belah utama di Menara 118 bagi meluaskan rangkaian pengedarannya.
Ini sekali gus meletakkan nama Siti Khadijah yang menawarkan koleksi yang digunakan untuk beribadah seperti telekung dan pelbagai segmen pakaian termasuk lelaki dan aksesori berkualiti tingg kini berada setanding dengan jenama antarabangsa di premis eksklusif berkenaan.
Bagi perancangan tahun depan, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohammad Munzir Aminuddin berkata, syarikat tidak agresif membuka banyak cawangan baharu tetapi tumpuan akan diberikan kepada usaha untuk membaikpulih, menambah baik dan meningkatkan daya saing cawangan sedia adanya agar seiring dengan trend semasa bagi memenuhi keperluan gaya hidup pelanggan masa kini.

Menurutnya, syarikat bakal memperuntukkan pelaburan kira-kira RM5 juta untuk kerja-kerja menambahbaik cawangan sedia ada yang telah dikenalpasti.
Sehingga kini, syarikat memiliki 60 cawangan dan yang terbaharu adalah di Bangsar dengan dengan konsep ruang flagship berteraskan gaya eksklusif yang tampil dengan konsep ‘The Home of Siti Khadijah di Kuala Lumpur’, memperlihatkan warisan, inovasi dan nilai kerohanian yang mendasari jenama.
Pengalaman butik ini diperkaya melalui Galeri Pelawat Mini Siti Khadijah, galeri kedua selepas yang pertama di Laman Khadijah, mendekatkan para pelanggan dengan seribu satu cerita di sebalik perjalanan jenama.

Setiap kisah disampaikan melalui sesi penceritaan eksklusif, yang menjadi teras dalam memperkukuh hubungan bersama rakan korporat dan pelanggan.
“Butik ini bukan sekadar ruang jualan, tetapi juga dijadikan satu hab komuniti dan jaringan profesional, tempat yang mana kita boleh bertemu, bekerjasama dan mencipta impak bersama.” katanya ketika ditemui Kosmo! Selepas majlis pelancaran butik tersebut di sini baru-baru ini.
Bersempena majlis pembukaan butik tersebut, Siti Khadijah melancarkan tiga koleksi telekung terbaharunya iaitu Flair Dityaa, Broderie Safiye dan juga Broderie Rania SE.
Koleksi ini diperkenalkan menerusi pertunjukan fesyen mini, yang turut menampilkan seleksi eksklusif Noah Top dan Elira Lines Outerwear, menyerlahkan kepelbagaian pilihan Siti Khadijah yang merangkumi produk gaya hidup. -KOSMO! ONLINE















