PETALING JAYA – DRB-HICOM Berhad mencatatkan keuntungan pra-cukai (PBT) sebanyak RM64.74 juta bagi suku tahun ketiga 2025, disokong oleh hasil sebanyak RM4.49 bilion.
Prestasi lebih baik berbanding PBT sebanyak RM45.86 juta dan hasil RM4.13 bilion yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu itu didorong oleh hasil jualan lebih tinggi merentasi semua sektor perniagaannya meliputi segmen Automotif, Hartanah, Aeroangkasa dan Pertahanan, Perbankan, Pos dan Perkhidmatan.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, Kumpulan mencatatkan PBT sebanyak RM280.55 juta dan hasil RM12.74 bilion, berbanding PBT berjumlah RM282.56 juta dan hasil RM12.23 bilion pada 2024.
Penurunan kecil dalam PBT terutamanya disebabkan sumbangan yang lebih rendah daripada sektor Aeroangkasa dan Pertahanan, Pos dan Hartanah, namun diimbangi sebahagiannya oleh keputusan lebih kukuh daripada sektor Perbankan, Automotif dan Perkhidmatan.
DRB-HICOM dalam satu kenyataan hari ini berkata, Kumpulan menjangkakan prospek sederhana bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2025.
Jelasnya, sektor Automotif Kumpulan terus meningkatkan kecekapan operasi melalui penyatuan kilang Proton di Tanjong Malim dan penubuhan kemudahan baharu bagi pengeluaran kenderaan elektrik (EV).
“Momentum Proton berterusan dengan pelancaran e.MAS 5 baru-baru ini, yang telah melebihi 10,000 tempahan, manakala e.MAS 7 kekal mendominasi sebagai EV paling laris di Malaysia
“Selain itu, pengambilalihan Spirit AeroSystems Malaysia Sdn. Bhd. akan mengukuhkan lagi kepakaran teras Composites Technology Research Malaysia (CTRM) dalam rantaian bekalan global.
“Cadangan pengambilalihan yang disasarkan akan selesai menjelang akhir tahun dijangka akan mempercepatkan pertumbuhan, memacu penjanaan nilai yang lebih tinggi dan memperkukuh keupayaan Malaysia dalam industri aeroangkasa global.
“Walaupun persekitaran perniagaan kekal mencabar, Kumpulan komited terhadap agenda pendigitalan, mengoptimumkan operasi dan meningkatkan kecekapan merentasi semua segmen,” katanya. – KOSMO! ONLINE














