BANGKOK – Seorang pengawal keselamatan maut dirempuh kereta ketika cuba melintas jalan untuk membantu seorang pemandu yang terlibat dalam kemalangan di Thailand, lapor laman berita Thaiger hari ini.
Mangsa dikenali sebagai Kamphon, 52, ketika kejadian melintas jalan di Phahonyothin Road, wilayah Pathum Thani awal hari ini.
Polis berkata, mangsa dirempuh sebuah kereta Honda Jazz lalu tercampak kira-kira 50 meter.
Dia ketika itu bergegas mahu membantu pemandu sebuah trak pikap yang terbabas dan melanggar penghadang jambatan.
Sementara itu, pemandu Honda Jazz tersebut berkata, dia gagal memberhentikan kenderaan tepat pada masanya ketika mangsa melintas secara tiba-tiba.
Mayat Kamphon dibawa ke hospital, manakala kes itu masih disiasat. – AGENSI















