PETALING JAYA – Keadaan hujan tanpa henti sejak dua hari ini menimbulkan kebimbangan penduduk Shah Alam yang bimbang tragedi banjir besar pada 2021 akan berulang.
Menerusi hantaran di Threads oleh @farisfoxz, individu itu meluahkan rasa resah dengan keadaan cuaca yang berlarutan sejak beberapa hari lalu.
“Hujan tanpa henti di Shah Alam. Goyang juga rasa. Takut kalau berulang banjir mega macam tiga tahun lepas. Nauzubillah,” tulisnya.
Dia turut berkongsi beberapa tangkap layar penanda aras paras air di Shah Alam, antaranya Rumah Pam Sungai Rasah di i-City dan kawasan Batu Tiga yang masih dalam keadaan terkawal, namun berlaku peningkatan paras air.
Tinjauan di ruangan komen mendapati ramai pengguna berkongsi pengalaman masing-masing ketika Shah Alam dilanda banjir besar pada Disember 2021.
“Tiga tahun lepas saya salah seorang mangsa banjir Shah Alam. Tersekat di Giant Seksyen 13. Malam tu tidur di tingkat satu pejabat Giant. Esoknya baru dapat keluar. Harap tidak jadi lagi. Insha-Allah,” kata Nasihin Nordin.
“Rumah saya di Kampung Lombong, Seksyen 29. Masa kejadian saya di Teluk Intan. Bergegas balik tapi tidak sempat sebab trafik sesak. Kucing lima ekor tersangkut dalam rumah. Alhamdulillah semua selamat,” kongsi Joji Hasbul.
“Disember 2021. Masih ingat sampai hari ni. Tersangkut dekat Klang, terpaksa tumpang rumah rakan sekerja sebab tidak boleh keluar,” tambah Norfatimah.
Sementara itu, menurut amaran cuaca dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), beberapa kawasan di Selangor yang berada dalam status Hujan Berterusan (Buruk) melibatkan Sabak Bernam sehingga 25 November, serta Hujan Berterusan (Waspada) di Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Gombak sehingga hari ini.
Untuk rekod, pada 18 Disember 2021, Shah Alam lumpuh selepas banjir melanda hampir keseluruhan kawasan sehingga jalan-jalan utama terputus.
Bencana itu turut melibatkan beberapa negeri lain termasuk Negeri Sembilan, Kelantan, Pahang dan Sabah, menjadikan jumlah korban mencecah 54 orang, antara yang tertinggi dalam sejarah banjir negara. – KOSMO! ONLINE















