LANGKAWI – Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) bekerjasama rapat dengan Pusat Kajian Marin dan Pantai (CEMACS) Universiti Sains Malaysia (USM) bagi mengkaji ubur-ubur di perairan ini.
Menurut Unit Komunikasi Korporatnya, kajian tersebut bagi mengenal pasti sifat dan populasi ubur-ubur di pulau ini.
“Kolaborasi ini akan membolehkan kita memperkenalkan langkah keselamatan berdasarkan bukti saintifik dan memperbaiki tindak balas bagi pelancong dan komuniti tempatan.
“Lada turut bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP) dan Pejabat Daerah Langkawi dan agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan semua pengunjung,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya lagi, pihaknya turut mengambil beberapa langkah bagi meningkatkan keselamatan orang awam yang berkunjung ke pantai.
Antaranya adalah mengadakan kempen meningkatkan kesedaran awam mengenai aktiviti ubur-ubur, termasuk musim bahaya dan amalan berenang yang selamat.
Selain itu, Lada juga akan meningkatkan pengawasan pantai terutama pada kemuncak musim ubur-ubur dan meningkatkan kerjasama antara pengawal pantai, operator aktiviti air dan pemain industri pelancongan termasuk hotel dan resort berdekatan. – KOSMO! ONLINE















