fbpx
Selepas bergraduasi, cabaran lebih besar akan menanti graduan untuk memasuki dunia pekerjaan. - GAMBAR HIASAN

Dari pentas konvo ke cabaran dunia pekerjaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Ketika ini, musim konvokesyen sedang mewarnai kebanyakan universiti di seluruh negara. Suasananya cukup meriah dan di wajah setiap graduan terpancar rasa kegembiraan.

Mereka meraikan detik bersejarah dalam hidup dengan mencipta kejayaan tersendiri sama ada di peringkat diploma, ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah (PhD).

Ada graduan yang menghidap kanser payudara terpaksa menulis tesis di atas katil kerana menjalani rawatan kemoterapi di hospital.

Ada pula graduan yang bergelar orang kurang upaya (OKU) bertungkus lumus menimba ilmu serta mengharungi cabaran.

Mereka akhirnya berjaya membawa pulang segulung ijazah, malah ada yang menggenggam PhD.

Graduan-graduan lain pula meraih pelbagai anugerah seperti Anugerah Naib Canselor, Anugerah Dekan dan Anugerah Pencapaian Khas.

Tidak kurang juga ramai yang berjaya mencapai purata nilai gred kumulatif (PNGK) melebihi 3.00, malah ada mencecah PNGK 4.00.

Bagi segelintir graduan pula, mereka telah berjaya meraih pendapatan lima angka sebulan atau ditawarkan pekerjaan sebelum naik pentas konvokesyen.

Bagaimanapun, bagi sebahagian besar graduan, cabaran yang lebih besar menanti mereka apabila melangkah ke dunia pekerjaan, sama ada dalam sektor kerajaan atau swasta.

Cabaran kini semakin sengit, mereka perlu bersaing sesama sendiri. Jawatan dalam sektor kerajaan terhad, tetapi bilangan pemohon sangat tinggi.

Ramai mahu bergelar penjawat awam kerana jaminan kerja tetap, skim gaji dan faedah lebih menarik, risiko diberhenti sangat rendah dan kenaikan gaji tahunan terjamin.

Peluang pekerjaan dalam sektor swasta pula dikatakan agak cerah, tetapi ia datang dengan banyak cabaran.

Walaupun pekerjaan wujud, terdapat kebimbangan kenaikan gaji tidak seimbang dengan kos sara hidup, ketidakstabilan ekonomi, beban kerja tinggi dan risiko pembuangan pekerja selain ketidaksepadanan kemahiran.

Berdasarkan Statistik Siswazah 2024 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, bilangan siswazah di negara ini telah meningkat kepada 5.98 juta orang pada 2024 dan daripada jumlah itu, seramai 5.14 juta siswazah aktif dalam tenaga buruh.

Bakinya, beratus-ratus ribu graduan lagi menganggur.

Oleh itu, jangan terlalu memilih atau menunggu kerja yang diimpikan, mulakan dengan kerja yang ada atau membuka perniagaan kecil-kecilan kerana rezeki kadangkala datang melalui langkah pertama.

Kerja permulaan bukan penamat, tetapi tapak untuk belajar, kumpul pengalaman dan bina rangkaian selain tambah kemahiran.

Ramai yang sudah berjaya dalam kerjaya yang tiada kaitan dengan segulung ijazah kerana sesetengah sektor pekerjaan sangat terbuka kepada semua bidang pengajian.

Graduan tidak sesekali dikatakan gagal, hanya kerana belum berjaya memperoleh pekerjaan yang dicita-citakan atau bergaji tinggi.

Nilai seseorang tidak ditentukan oleh jawatan atau gaji, tetapi usaha dan kemampuan untuk bangkit menghadapi cabaran. Selagi terus berusaha, mereka belum kalah.

Ini kerana setiap langkah kecil, setiap pengalaman baharu serta setiap cabaran yang ditempuh adalah sebahagian daripada perjalanan membina masa depan lebih kukuh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN