SHAH ALAM – Usia bukan penghalang buat seorang nenek empat cucu apabila memperoleh Doktor Falsafah (PhD) bidang pendidikan sempena Istiadat Konvokesyen ke-103 Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.
Lebih membanggakan, Dr. Rafiah Kassim, 73, berjaya menyiapkan tesis bertajuk “Pendekatan guru prasekolah Malaysia bagi memupuk kemahiran sosial dalam kalangan kanak-kanak prasekolah untuk kesediaan bersekolah” dalam tempoh tiga tahun sahaja.
Rafiah berkata, kesedaran untuk mengekalkan minda aktif dan berpengetahuan dalam pelajaran serta agama menjadi pendorong utama.
“Kita tidak boleh membiarkan minda pasif. Belajar tidak mengenal usia. Saya memang berminat untuk menyambung pengajian ketika muda, namun banyak gangguan. Tumpuan ketika itu mengusaha dan mengendalikan sebuah prasekolah di Bangsar selama 27 tahun,” katanya ketika ditemui.
Rafiah merupakan antara 193 indivdiu menerima PhD masing-masing daripada Pro Canselor UiTM, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin pada istiadat di Dewan Agung Tuanku Canselor.
Ibu kepada tiga juruterbang komersial itu berkata, pengajian di peringkat PhD dilakukan semata-mata untuk kepuasan diri agar menjadi individu lengkap dari segi ilmu pengetahuan. Beliau turut berharap dapat menyumbang kepada UiTM sebagai alumni universiti awam tersebut.
Rafiah turut berkongsi pengalaman sebagai pengusaha prasekolah di Bangsar, Kuala Lumpur yang menempatkan murid dari pelbagai negara.
“Bila mula, hanya enam murid hingga 70 orang. Bila ramai, kita jangan terlalu fokus keuntungan. Semua orang sukakan wang, tetapi ikhlas itu lebih penting,” katanya yang menutup operasi prasekolah tersebut dua tahun lalu.
Mengenai disiplin kanak-kanak, Rafiah menekankan kepentingan memahami kesalahan mereka sebelum mengambil tindakan.
“Kalau kita menghukum ketika marah, kita sendiri tidak tahu kekuatan rotan kita. Cuma ibu bapa jangan lupa ajar anak-anak menghormati orang lain. Kita semua sama tanpa mengira kaya atau miskin, warna kulit atau agama,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE















