fbpx
Gambar memaparkan tiga murid sahaja berada dalam satu kelas di SK Bandar Tua.

Boleh fokus mengajar, tenang dan damai murid tiga orang sahaja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang guru meluahkan rasa syukur apabila ditempatkan di sebuah sekolah kurang murid sekali gus memberikan peluang buat dirinya menumpukan sepenuh perhatian kepada pengajaran.

Menerusi hantaran di Thread @Msyyhmi, dia ditukarkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Tua, Kampung Gajah Perak menerusi keputusan penempatan e-GTukar yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM) sebelum ini.

Katanya, yang mengajar subjek Pendidikan Islam dan Bahasa Arab, sekolah berkenaan hanya mempunyai kira-kira 10 orang murid sahaja selain tiada murid Tahun 1 dan Tahun 3.

“Kepada waris yang nak saya fokus ajar Pendidikan Islam dan Bahasa Arab secara tenang dan damai, boleh hantar anak ke SK Bandar Tua. Saya tengah bersyukur, dapat murid sedikit, pandai dan penuh adab. Saya makin bahagia di sini.

“Rezeki Tuhan bagi sekolah yang cuma ada 10 orang murid. Dapat guru besar sempoi, waktu telefon guru besar terus diuruskan kuarters. Alhamdulillah. Kadang-kadang benda baik itu berada di tempat yang jauh sedikit daripada ‘comfort zone’ kita,” katanya.

Guru berkenaan turut berharap warga Kampung Gajah dan ibu bapa sekitar memberi kepercayaan kepada SK Bandar Tua untuk mendidik anak-anak mereka, khususnya dalam membina asas agama dan bahasa al-Quran.

Katanya, walaupun sekolah kecil, kemudahan asas mencukupi dan hubungan antara guru, murid serta komuniti setempat sangat rapat, menjadikan suasana pembelajaran lebih mesra dan berkesan.

“Mohon tunjuk ajar dari warga Kampung Gajah. Insya-Allah, saya akan cuba sebaik mungkin untuk jadikan sekolah kecil ini tempat yang subur dengan ilmu dan akhlak,” katanya.

Tinjauan di ruangan komen mendapati ramai guru-guru lain yang berasa ‘cemburu’ melihat keadaan sekolah itu yang kurang murid.

“Kalau macam inilah, hari-hari aku bersyukur. Mesti suara singa tak keluar. Ni cikgu balik rumah tudung dah senget-benget,” komen Firna.

“Bahagianya dik oi. Kami hari-hari macam singa. Budak 800 lebih,” komen Harisya.

“Aman je mengajar dekat sekolah tu. Rasanya kalau berbisik pun dengar ni,” komen Farizudin pula. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN