fbpx
Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dari Pasukan Penyelamat Di Air sedang melakukan persiapan bagi operasi SAR mencari mangsa hanyut kepala air di Sungai Klang berhampiran Pintasan Saloma semalam.

Pasukan SAR susuri Sungai Klang sejauh 20 kilometer pencarian mangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang mangsa yang dilaporkan hanyut berhampiran Pintasan Saloma, Lebuh raya AKLEH, diteruskan hari ini memasuki hari kedua.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur dalam kenyataan berkata, operasi pencarian bermula pada pukul 9.30 pagi menggunakan kaedah pencarian di permukaan air selain bantuan dron bagi membuat tinjauan dari udara.

Katanya, pasukan penyelamat turut melakukan pencarian dengan menyusuri Sungai Klang menghala ke arah Puchong sejauh kira-kira 20 kilometer.

“Operasi dibahagikan kepada empat sektor, masing-masing meliputi kawasan sepanjang lima kilometer dengan penggunaan aset marin seperti kayak dan bot.

“Bagi pembahagian sektor, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mengendalikan pencarian di sektor dua dan empat, manakala Skuad Penyelamat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur ditempatkan di sektor satu dan Angkatan Pertahanan Awam menjalankan operasi di sektor tiga,” kata kenyataan itu hari ini.

Katanya, usaha pencarian turut diperluaskan dengan bantuan JBPM Selangor melalui tiga Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) iaitu BBP Shah Alam yang melakukan pencarian di kawasan sungai sekitar Seksyen 24.

“BBP Subang Jaya melakukan pencarian dari Tol Kesas hingga Kampung Sungai Baru, Puchong dan BBP Puchong membuat pencarian dari Tol Sungai Baru hingga ke perangkap sampah Kampung Sungai Aman,” katanya.

Tambahnya, cuaca baik pada sebelah petang membantu kelancaran operasi, namun sehingga pukul 7.30 malam, tiada penemuan baharu dilaporkan.

Operasi SAR juga ditangguhkan dan akan disambung semula pada pukul 10 pagi esok. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN