PELUANG beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani untuk mara ke Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2025 di Hangzhou, China bulan depan boleh dianggap sudah tertutup.
Ia gara-gara kekalahan mereka kepada pasangan tuan rumah, Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita pada aksi separuh akhir kejohanan Kumamoto Masters yang berlangsung di Jepun kelmarin.
Pada perlawanan di Gimnasium Wilayah Kumamoto itu, Sze Fei-Izzuddin terpaksa akur tewas menerusi keputusan straight set 12-21, 17-21 dalam tempoh 38 minit meskipun sudah cuba mengheret perlawanan ke set penentuan.
Kekalahan tersebut sekali gus menyaksikan gandingan yang terkenal dengan panggilan DinFei itu gagal untuk mengutip mata diperlukan bagi menghidupkan peluang mereka melangkah ke WTF nanti.
Berdasarkan kedudukan semasa ranking Jelajah Dunia, bekas gandingan No.1 dunia itu perlu meraih gelaran pada Kumamoto Masters serta Terbuka Australia yang dijadualkan berlangsung minggu depan bagi memintas beregu kebangsaan, Man Wei Chong-Tee Kai Wun.
Menerusi kekalahan Sze-Izzuddin itu, Wei Chong-Kai Wun boleh dianggap sudah mengesahkan kemaraan mereka ke WTF, sekali gus menjadi penampilan sulung mereka pada kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$3 juta (RM12.4 juta) itu.
Ketika ini, Sze Fei-Izzuddin menghuni ranking ketujuh Jelajah Dunia, manakala Wei Chong-Kai Wun di kedudukan ketiga dengan lapan beregu terbaik akan melayakkan diri ke kejohanan penutup tirai itu.
Berdasarkan peraturan ditetapkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), maksimum dua beregu setiap negara dalam kelompok lapan terbaik sahaja yang boleh menggalas cabaran pada WTF.
Sebelum ini, bekas juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik sudah mengesahkan kemaraan lebih awal apabila menghuni ranking kedua Jelajah Dunia dengan perbezaan mata cukup besar.














