PUTRAJAYA – Sebanyak 60,000 liter bom air digugurkan menggunakan pesawat Bombardier CL 415 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) bagi membantu operasi memadam kebakaran di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan.
Bom air tersebut digugurkan dengan 10 kali sedutan atau ‘water scooping’ pada sesi pagi tadi dengan pesawat tersebut diterbangkan oleh Leftenan Komander Maritim Yusni Sari bersama empat anak kapal.
Ketua Pengarah Maritim, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, pesawat amfibia itu berlepas dari Stesen Udara Maritim Subang (SUMS) pukul 9.20 pagi dan operasi pemadaman mengambil masa hampir dua jam.
Menurutnya, ia diatur gerak atas keperluan yang kritikal dan sangat diperlukan bagi membantu memadam kebakaran di kawasan tersebut berikutan kesukaran laluan untuk diakses melalui jalan darat.
“Operasi pemadaman bermula pukul 9.20 pagi tadi dengan sumber air bagi pemadaman diambil dari perairan Tanjung Sepat.
“Bahagian Operasi Udara (BOU) menghantar dua pasukan penerbang yang terdiri dari juruterbang dan anak kapal bagi menyertai operasi pemadaman kebakaran itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak dua sesi penerbangan atau ‘sortie’ dijalankan hari ini iaitu satu sesi pada sebelah pagi dan satu lagi sesi pada sebelah petang.
Sementara itu, katanya, hasil pemerhatian mendapati, hampir 90 peratus kawasan yang ditugaskan kepada Maritim Malaysia telah berjaya dipadamkan. -K!ONLINE.














