BACHOK – Terpaksa menulis tesis di atas katil selepas menjalani rawatan kemoterapi di hospital bukan menjadi penghalang kepada seorang pensyarah yang menghidap kanser payudara untuk menggengam Ijazah Doktor Falsafah (PhD).
Dr. Fadilah Hanim Abdullah, 45, yang masih menjalani rawatan susulan penyakit kanser berjaya menamatkan pengajian PhD Keusahawanan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) selama hampir lapan tahun selepas bergelut dengan pelbagai rawatan sepanjang tempoh tersebut.
Pensyarah Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan di UMK Kampus Kota, Kota Bharu itu berkata, beliau terpaksa menulis tesis di katil hospital selain banyak menghabiskan masa menyiapkan tugasan dengan menahan sakit akibat rawatan di rumah.
Menurutnya, perjalanan akademiknya bermula pada 2015 sebelum disahkan menghidap kanser payudara tahap tiga setahun kemudian.
“Ketika itu saya hampir putus asa. Saya terpaksa menjalani pelbagai prosedur rawatan termasuk pembedahan, 22 kali sesi kemoterapi dan 20 kali radioterapi.
“Dugaan tidak berhenti di situ apabila sel kanser merebak ke tulang hingga tahap empat pada 2023. Alhamdulillah, berkat sokongan keluarga dan kekuatan diri, saya tetap dapat menamatkan pengajian ini,” katanya ketika ditemui selepas Istiadat Konvokesyen Ke-15 UMK di Dewan Tuanku Canselor, UMK Kampus Bachok di sini semalam.
Lebih manis, Fadilah Hanim menerima sijil PhD daripada Pro-Canselor UMK, Tengku Muhammad Fakhry Petra yang juga merupakan Tengku Mahkota Kelantan pada istiadat konvokesyen itu.
Fadilah Hanim memberitahu, tempoh PhD bagi jurusan tersebut sepatutnya empat tahun, namun beliau dapat menamatkan pengajian selama lapan tahun disebabkan kekangan kesihatan. – KOSMO! ONLINE














