HOO Pang Ron terus memberikan sokongan padu kepada gandingannya, Cheng Su Yin ketika beregu campuran negara itu berusaha bangkit semula menutup musim ini dengan momentum positif selepas berdepan ujian kecederaan.
Beregu No. 20 dunia itu terlepas siri jelajah Eropah bulan lalu sekali gus memadam peluang untuk melayakkan diri ke Jelajah Dunia Akhir selepas Su Yin mengalami keretakan tulang tapak kaki kiri ketika beraksi di Terbuka Korea Selatan pada September lalu.
Ketiadaan dalam beberapa kejohanan utama memberi kesan kepada kedudukan ranking, namun Pang Ron menegaskan fokus utama adalah memastikan Su Yin pulih sepenuhnya dan kembali selesa di gelanggang.
“Sekarang sasaran kami tidak terlalu tinggi kerana Su Yin sudah beberapa kali mengalami kecederaan. Kami harapkan dia sihat dan dapat bermain tanpa rasa sakit,” katanya.
Tambahnya, selepas rehat beberapa bulan, mereka kini bersedia beraksi semula pada dua kejohanan penutup musim iaitu Kumamoto Masters di Jepun dari 11 hingga 16 November ini dan Terbuka Australia (18-23 November).
“Kami mahu menikmati permainan dahulu dan perlahan-lahan mencari kembali momentum. Selepas lama tidak bertanding, sudah tentu perlukan masa untuk dapat rentak,” ujar Pang Ron.
Pang Ron juga bimbang terhadap kecederaan berulang, namun mengambil pendekatan berhati-hati termasuk memanfaatkan sokongan sains sukan bagi mempercepatkan proses pemulihan dan menguatkan fizikal.
“Memang tiada siapa mahu cedera, tetapi ada perkara yang badan kita tidak boleh kawal sepenuhnya. Saya selalu ingatkan Su Yin supaya jangan kecewa. Saya sentiasa sokong dia, yang penting teruskan proses pemulihan dengan yakin,” katanya. – KOSMO! ONLINE














