fbpx
Album Gema Bumantara oleh Siti Nurhaliza menyuburkan semula irama tradisional ke seluruh Nusantara yang sebelumnya ketandusan karya-karya baharu mega sehingga bertakhta No.1 iTunes di 3 negara serentak sejurus diluncurkan.

Bila ritma tradisi ‘takluk’ serata Nusantara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Ini nadaku, warisan kita, disulam indah suara Nusantara, kekal abadi selamanya. Tersentuh hati ini kala mendengar bait lagu Hati Yang Rindu ciptaan Usop Kopratasa dalam album terbaharu biduanita Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin betapa irama tradisional itu tidak pernah berhenti merindui kepulangan anak bangsa tercinta kembali melagukannya.

Album Gema Bumantara yang mengandungi 10 lagu impaknya menyuburkan semula irama tradisional ke seluruh Nusantara. Sejurus diluncur, lagu Kumbang Bunga trending di YouTube Indonesia, Cenderamaya ‘meletop’ di Singapura dan Kesuma pantas menembus corong radio Brunei.

Album tradisional itu bahkan berada di tangga No.1 iTunes di tiga negara serentak iaitu Malaysia, Singapura dan Brunei sebaik album di pasaran. Kesuma turut berada di tangga No.1 iTunes bagi carta lagu di Malaysia. Gema Bumantara juga merupakan satu-satunya album dari Asia Tenggara yang berjaya menembusi Worldwide iTunes Top 200.

Di tanah air biduanita sendiri, bukan saja album Gema Bumantara kekal No.1 iTunes sepanjang minggu, bahkan tiba-tiba segala album tradisional Siti Nurhaliza dikorek kembali masyarakat dari Sahmura, Sanggar Mustika dan Lentera Timur tiba-tiba mendominasi carta platform muzik digital orang muda masa kini itu.

Irama tradisional yang ‘menggila’ selepas Gema Bumantara bagai memberi isyarat bahawa anak-anak muda di rumpun Melayu ini dahagakan lenggok dan cengkok irama-irama sebegini. Gema Bumantara juga bak mewakili naskhah wajah dan ritma Nusantara, tidak berpaksikan Malaysia semata-mata.

Berentak seleksi irama seperti inang, masri, dikir, gurindam, keraton Jawa, dangdut tradisional, bernuansa silat, sinden, inspirasi lagu rakyat, sedikit dialek negeri memang sudah cukup menggambarkan Nusantara.

Bukan sekadar menyerlahkan sisi Nusantara pada rentaknya, bahkan barisan komposer juga lengkap dari Malaysia, Indonesia dan Singapura. Misalnya Usop Kopratasa, Aubrey Suwito, Hafiz Hamidun, Omar K, Melly Goeslow (Indonesia) dan salah seorang pencipta lagu Cenderamaya, Amni Musfirah adalah dari Singapura. Siti turut berduet bersama artis dangdut No.1 Indonesia, Lesti Kejora.

Siti juga memberi peluang, ruang menyinar dan kepercayaan sebahagian pembuat lagunya kalangan karyawan muda atau baharu seperti Firdaus Rahmat, Iqie Hugh, Aisha Retno, Aiman Sidek, Affan Mazlan, Amni dan rakan-rakan seperjuangannya ketika sama-sama menuntut di Berklee College of Music, Boston iaitu Irena Taib dan Jamilah Abu Bakar, jadi sudah tentu penerapan rentak orang muda gaya masa kini tetap disuntik.

Lebih membanggakan, para pendengar muda juga semakin didekatkan kosa-kosa kata klasik. Aisha Retno turut berkongsi di media sosialnya bertemankan Kamus Dewan edisi keempat untuk menghasilkan lirik.

Kita mungkin tiada lagi Allahyarham Pak Ngah dan S. Atan, tapi bak lagu Rencong, kita seharusnya sudah percaya bakat seadanya dan makrifat ditimba selama ini untuk cuba terus mencorakkan irama khazanah ini yang berevolusi dengan zaman kerana kitalah anak pertiwi penyambung warisan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI