PETALING JAYA – Seorang pengguna TikTok, @Faris Mansuar, mencuri perhatian netizen apabila menghadiahi ibunya perjalanan menunaikan umrah pada awal tahun depan.
Momen penuh emosi itu dikongsikan Faris menerusi video di TikTok apabila dia membacakan surat pengesahan lawatan umrah di hadapan ahli keluarga.
Berdasarkan dokumen berkenaan, ibunya dijadualkan berlepas ke Tanah Suci pada 1 Januari 2026 dan pulang ke Malaysia pada 11 Januari 2026.
Dalam ucapannya, Faris meluahkan rasa syukur kerana impiannya untuk menunaikan hasrat ibunya akhirnya tercapai selepas sekian lama berusaha.
Sepanjang ucapan itu, Faris yang mesra disapa Boboi turut menzahirkan penghargaan kepada abang dan kakaknya yang banyak membantunya selama ini.
“Terima kasih abang dan kakak yang pernah jaga saya, berhabis duit untuk saya. Allah saja yang akan membalasnya,” katanya dengan nada sebak.
Faris juga menyatakan bahawa pemberian itu dilakukan sebagai tanda kasih dan rasa terhutang budi kepada ibu yang membesarkan mereka dengan penuh pengorbanan.
“Saya takut kalau tak sempat berwajib pada mak. Sekurangnya, impian kecil ini jadi bukti kasih sayang saya pada mak,” katanya.
Faris turut berpesan agar hubungan adik-beradiknya kekal utuh dan saling menyayangi hingga ke akhir hayat.
“Kita adik-beradik takkan terpisah, kita akan menyayangi sama sendiri dunia dan akhirat,” katanya.- KOSMO! ONLINE.














