MARAN – Tindakan seorang wanita menghubungi jiran untuk melihat keadaan adiknya yang tinggal bersendirian dapat menyelamatkan lelaki itu daripada terus terbaring di atas lantai selama dua hari selepas diserang angin ahmar secara tiba-tiba di dalam rumah.
Rozita Hamzah, 51, berkata, dia meminta jiran menjenguk keadaan adiknya, Rahimi, 40, selepas pelik apabila lelaki bujang yang menetap di rumah pusaka di Felda Jengka Satu di sini itu langsung tidak menjawab panggilan telefon seperti kebiasaan.
Katanya, menjadi rutin dia menghubungi Rahimi untuk bertanya khabar selepas dia berhenti kerja sebagai pengawal keselamatan kerana dia menetap di Felda Kota Gelanggi Dua yang terletak 45 kilometer dari rumah pusaka itu.
“Saya kemudian terkejut apabila jiran memaklumkan yang adik terlantar di atas lantai rumah dalam keadaan lembik dan tidak boleh bercakap.
“Tanpa berlengah saya terus ke Felda Jengka Satu dan bergegas membawa adik ke Hospital Bandar Pusat Jengka sebelum dipindahkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh,” katanya di Felda Kota Gelanggi Dua di sini.
Menurut Rozita, sebelum kejadian, adiknya ada mengadu kaki kirinya lemah dan kerap terjatuh sebelum berhenti kerja dan pulang ke sini pada bulan lalu.
Tambahnya, dia tidak sangka adiknya terkena serangan itu lebih awal kira-kira dua minggu lalu dan langsung tidak boleh bercakap.
“Kini adik masih lemah dan tidak boleh mengangkat tangan kiri serta mengalami gangguan otak akibat serangan angin ahmar,” katanya.
Ujar Rozita, adiknya kini terbaring di atas katil di Felda Kota Gelanggi Dua dan cuma disuapkan nasi bubur dan terpaksa diangkat ke bilik air untuk membersihkan diri termasuk menggunakan lampin pakai buang.
“Saya tidak mampu daripada segi kewangan kerana pada masa yang sama menjaga kebajikan seorang anak lelaki yang masih koma akibat kemalangan jalan raya lima tahun lalu yang perlu penjagaan rapi melibatkan perbelanjaan yang banyak,” katanya.
Menurut Rozita, dia berharap ada pihak berwajib dan dermawan dapat membantu meringankan beban adiknya yang sukar dipulihkan kerana keadaannya agak teruk selain perlu berulang alik ke hospital.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Rozita Hamzah di talian 018-910 3179 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Rakyat Rahimi Hamzah bernombor 220301456061.














