AMPANG – “Mana saya nak pergi di usia begini. Saya telah tinggal di sini hampir 30 tahun, mereka suruh saya pindah.”
Itu luahan seorang warga emas yang mahu dikenali sebagai Wee, 71, sewaktu mengulas arahan mengosongkan rumahnya di Taman Bukit Permai 2, di sini oleh pihak berwajib selepas kawasan itu diisytiharkan tidak selamat untuk didiami selepas insiden tanah runtuh pada Mac 2022.
Katanya, dia tidak menandatangani sebarang persetujuan pampasan kerana jumlah ditawarkan tidak mencukupi untuk membeli kediaman lain di kawasan sama.
“Saya dapat tawaran RM300,000, tetapi untuk beli rumah di sini pada harga sedemikian agak mustahil. Rumah saya pun masih kukuh, tak ada retak.
“Saya sudah tua, hidup seorang diri hanya bertemankan haiwan peliharaan. Kalau pindah jauh, siapa nak tolong saya?” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Pada 10 Mac 2022, empat mangsa terkorban dan seorang cedera dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2.
Semalam, enam kereta milik penduduk di taman itu mengalami kerosakan akibat dihempap runtuhan batu berhampiran parkir pangsapuri Mutiara Court.
Bagaimanapun tiada mangsa cedera atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden tersebut.
Seorang lagi penduduk, Daniel Ishwar Kamal Aravinthan Kumar, 24, berkata, keluarganya telah menerima pampasan tunai lebih setahun lalu, namun dia dan adiknya masih menetap di rumah itu sementara menunggu arahan rasmi pihak berkuasa.
“Sampai sekarang tak ada notis baharu, tidak tahu bila nak dirobohkan,” ujarnya.
Sementara itu, jirannya, Mustaza Jaafar, 60, memaklumkan, hampir semua 15 penghuni di situ menerima pampasan dan berpindah, kecuali beberapa buah rumah masih berpenghuni.
“Semua dah dapat pampasan, dah dekat setahun lebih.
“Tetapi setahu saya, memang semua rumah dalam kawasan tu dikategorikan tak selamat dan akan dirobohkan nanti,” katanya.
Mohd. Isam Ilyas, 65, pula berkata, dia difahamkan proses perobohan sepatutnya dilakukan pada November 2024, namun tertangguh tanpa sebarang penjelasan lanjut.
“Kata nak roboh, tapi sampai sekarang tak jadi, mungkin ada isu pampasan atau masih tunggu keputusan lanjut,” katanya.
Sebelum ini, Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Ir. Izham Hashim berkata, sebanyak 15 rumah di Taman Bukit Permai 2 yang terjejas susulan insiden tanah runtuh Mac 2022 diisytihar tidak selamat untuk diduduki.
Menurut beliau, walaupun kerja-kerja penyelenggaraan dan penstabilan cerun sudah dibuat, namun kawan sekitar didapati masih tidak selamat untuk diduduki, selain rumah terbabit mengalami keretakan dan terletak terlalu hampir dengan tebing.
















