KUALA LUMPUR – Lebih 6,000 kandungan penipuan dalam talian di platform media sosial berjaya diturunkan hasil tindakan pantas pihak berkuasa sejak 2023 hingga September lalu.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Rusdi Mohd. Isa, tindakan itu hasil pemantauan berterusan oleh Unit Police Cyber Investigation Response Centre (PCIRC) di bawah Bahagian Siber, Taktikal dan Teknikal JSJK.
“PCIRC memantau kandungan dan iklan penipuan secara 24 jam setiap hari. Sejak 2023, sebanyak 6,184 kandungan dikenal pasti dan telah diturunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hasil permohonan yang dibuat oleh PCIRC,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar Semak Mule di Ibu Pejabat JSJK, hari ini.
Daripada jumlah itu, katanya, penipuan pinjaman mencatat angka tertinggi sebanyak 4,557 kandungan, diikuti penipuan pelaburan (1,073) serta urusan jual beli dan penyewaan kad mesin juruwang automatik (ATM) (554).
“Bagi tahun ini sahaja, sebanyak 3,179 kandungan telah diturunkan sejak Januari sehingga September,” ujarnya.
Rusdi menjelaskan, unit PCIRC bukan sahaja memantau kandungan berunsur jenayah siber, malah turut menganalisis data, menyediakan laporan siasatan dan membuat profil suspek bagi membantu siasatan lanjut.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan dan pinjaman di media sosial, sebaliknya membuat semakan terlebih dahulu dengan agensi berkaitan seperti Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
“Antara taktik biasa digunakan ialah meminta bayaran pendahuluan sebelum ‘pinjaman’ diluluskan. Selepas bayaran dibuat, sindiket akan menghilangkan diri,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa meminjam atau menyewakan kad ATM kepada pihak ketiga adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 424 dan 137 Kanun Keseksaan, dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat. – KOSMO! ONLINE














