KUALA LUMPUR – Tiga inisiatif utama ASEAN diumumkan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berhubung ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ disifatkan legasi penting di bawah Kepengerusian Malaysia sekali gus mengukuhkan negara sebagai pemaju pembangunan serantau.
Inisiatif tersebut iaitu ‘Micro, Small and Medium Enterprises (MSME) Excellence Centre for Green Transition in ASEAN (MEGA)’, laporan ‘ASEAN Ahead: STI Ecosystem Foresight 2035 and Beyond’ dan buku ‘ASEAN in 2025: Shaping an Inclusive and Sustainable Future’ diumumkan pada 24 Oktober pada Majlis Pelancaran Inisiatif ASEAN mengenai ‘Keterangkuman dan Kemampanan’.
Felo Bersekutu di Institut Hubungan Antarabangsa dan Diplomasi Asia dan Pensyarah Kursus Diplomasi di Universiti Utara Malaysia, Dr. Nor Azura A Rahman berkata, penegasan dan inisiatif dalam detik bersejarah bagi ASEAN merupakan bukti nyata kepimpinan strategik Malaysia dalam menterjemahkan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ kepada tindakan berimpak tinggi.
Menurutnya, ketiga-tiga inisiatif ini juga mencerminkan keupayaan diplomasi Malaysia dalam menyatukan visi dan tindakan konkrit di bawah kerangka ‘ASEAN Community Vision 2045’.
“Ia menunjukkan bahawa Malaysia tidak hanya mahu memimpin ASEAN dalam tempoh setahun ini, tetapi meninggalkan warisan dasar dan institusi yang akan memberi manfaat kepada rantau ini untuk dekad akan datang.
“Konsep ‘Keterangkuman’ dalam teori pembangunan serantau menekankan penglibatan semua negara anggota dalam arus kemajuan ekonomi, teknologi dan sosial. Konsep ‘Kemampanan’ pula menuntut keseimbangan antara pertumbuhan, keadilan sosial dan pemeliharaan alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata, memetik ucapan Mohamad berkait kemajuan ASEAN inklusif, daripada perspektif ini sejajar dengan teori ‘institutional readiness’.
Katanya, ia bermaksud integrasi serantau hanya berkesan apabila setiap negara anggota mempunyai kapasiti dan komitmen yang setara untuk melaksanakan agenda bersama.
“Ucapan ini juga memperlihatkan kejelasan visi Malaysia bahawa kejayaan ASEAN tidak boleh diukur hanya melalui angka ekonomi semata-mata, tetapi melalui kemajuan yang adil dan seimbang memanfaatkan semua negara anggota tanpa mengira saiz atau tahap pembangunan.
“Kepengerusian Malaysia hadir dalam era digelar oleh beliau (Mohamad) sebagai ‘an era marked by increased geostrategic contestation, environmental challenges, and technological disruption’,” katanya.
Beliau berkata, dalam konteks ini, Malaysia berusaha menjadikan ASEAN sebagai platform aksi bersama dalam ekonomi hijau, inovasi dan keusahawanan mampan.
“Salah satu inisiatif paling penting di bawah kepimpinan Malaysia ialah MEGA yang menumpukan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sebagai tulang belakang ekonomi rantau ini.
“MEGA boleh ditafsirkan sebagai mekanisme pembangunan kapasiti yang menggabungkan latihan, pemindahan teknologi dan pembiayaan hijau.
“Pendekatan ini mencerminkan gabungan pembangunan ekonomi dan pemuliharaan alam sekitar selaras dengan prinsip Malaysia Madani dan Sustainable Development Goals (SDGs) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya.
Mengulas lanjut, Nor Azura berkata, dari sudut potensi, ketiga-tiga inisiatif Malaysia berkenaan menonjolkan beberapa dimensi penting.
“Dari sudut Dimensi Institusi, Malaysia memperkenalkan model baharu ‘legacy-based chairmanship’ yang memberi tumpuan kepada kesinambungan projek melebihi tempoh setahun kepengerusian.
“Dari sudut Dimensi Inovasi pula, Laporan ‘ASEAN Ahead 2035’ menjadi bukti bahawa negara ini berpegang kepada prinsip tadbir urus berasaskan ilmu dan pandang ke hadapan (evidence-based foresight),” katanya.
Beliau berkata, Mohamad turut memberikan kenyataan yang memperlihatkan pendekatan pragmatik dan saintifik dalam pembentukan dasar ASEAN berpaksikan pengetahuan, kesiapsiagaan dan inovasi.
“Malaysia melalui kepimpinannya berjaya mengangkat wacana sains, teknologi dan inovasi (STI) sebagai nadi kepada daya tahan dan daya saing rantau ini,” ujarnya.
Dari sudut Dimensi Sosio-Ekonomi, Nor Azura berkata, buku ‘ASEAN in 2025’ memperkukuhkan peranan akademia, pemikir dasar dan komuniti epistemik ASEAN dalam merangka hala tuju serantau.
“Dengan penglibatan lebih 30 sarjana dan pemimpin pemikiran rantau ini, inisiatif tersebut membuktikan bahawa Malaysia mendorong ‘knowledge diplomacy’ (ilmu diplomasi) sebagai instrumen baharu dalam hubungan antarabangsa.
“Tidak dinafikan, pelaksanaan inisiatif besar seperti ini menuntut penyelarasan rapat antara negara anggota, penyediaan mekanisme bantuan silang (cross-capacity support) dan sistem penilaian berasaskan hasil (results-based framework).
“Namun, di bawah kepimpinan Malaysia, semangat kerjasama serantau telah diperkukuh melalui pelbagai platform pemantauan dan perkongsian pengetahuan,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia juga aktif menggalakkan negara anggota agar memperkukuh kapasiti institusi domestik, memperluas latihan tenaga kerja hijau dan menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam penyesuaian terhadap ekonomi rendah karbon.
“Usaha-usaha ini menunjukkan bahawa Malaysia tidak hanya bercakap tentang ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, tetapi ia juga memimpin dengan teladan.
“Dari segi teori pembangunan, inisiatif ini boleh dilihat melalui pendekatan ‘transformational regionalism’, iaitu integrasi berasaskan perubahan struktur, terutamanya apabila pelaksanaan inisiatif ini melibatkan indikator konkrit.
“Ini seperti peningkatan penyertaan MSME dalam ekonomi hijau, peningkatan akses teknologi antara negara anggota dan pengurangan intensiti karbon, maka ia merupakan satu transformasi sebenar,” ujarnya.
Sementara itu, beliau berkata, melalui visi dan tindakan strategik Mohamad, Malaysia berjaya meletakkan ASEAN pada landasan baharu yang lebih bersepadu, berdaya saing dan berjiwa manusiawi.
Katanya, ia seterusnya menjadikan Kepengerusian 2025 bukan sekadar simbol kejayaan diplomasi, tetapi juga manifestasi kepimpinan berprinsip dan berpandangan jauh. – KOSMO! ONLINE














