Walaupun memiliki ijazah dalam bidang Fizik, Alyaa Maisarah Mohmad Rosman, 24, berjaya mencipta nama sebagai pencipta kandungan dan mempunyai lima angka pengikut
di TikTok.
Mungkin ia kelihatan agak janggal bagi graduan sains tulen, namun gadis dari Johor Bahru itu memberitahu dunia kreatif memberi kepuasan yang tidak ternilai kepadanya.
Anak bongsu daripada tiga beradik itu kini bergelar pakar media sosial di sebuah syarikat kecantikan, selain aktif menghasilkan kandungan di media sosial. Wartawan Kosmo! Ahad mendekati Alyaa yang bercerita mengenai diri dan perancangan masa hadapannya.
Kosmo! Ahad: Boleh kongsikan mengenai diri Alyaa?
ALYAA: Saya merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Fizik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Ramai terkejut bila saya sertai bidang kreatif. Saya meminati seni dan fesyen sejak di universiti dan mula membuat kandungan di media sosial secara suka-suka, tak sangka jadi kerjaya. Fizik mengajar saya tentang disiplin dan berfikir logik, dunia kreatif pula memberi saya ruang untuk bebas menjadi diri sendiri.
Apa pandangan keluarga mengenai keputusan ini?
Terkejut. Mula-mula agak risau juga, tetapi saya percaya rezeki tetap ada selagi kita berusaha. Sekarang mereka menyokong dan itu antara momen yang paling bermakna.
Bagaimana perjalanan awal sebagai content creator?
Saya bermula dengan kandungan santai seperti outfit of the day (OOTD), tutorial fesyen dan gaya hidup. Dari situ, saya mendapat tawaran berkolaborasi dengan jenama tempatan. Kerja ini tak pernah membosankan, setiap hari ada cabaran dan peluang baharu. Saya berjumpa dengan ramai orang berbakat.
Pernah dikecam?
Sudah tentu, tapi saya jadikan kecaman sebagai pengajaran. Saya belajar untuk tidak terlalu ambil hati sebab setiap orang ada citarasa masing-masing.
Bagaimana Alyaa menjaga kesihatan dan kecantikan?
Saya menjaga tidur, minum banyak air dan berdisiplin dalam rutin penjagaan muka. Jika ada masa, saya lakukan senaman ringan dan zumba. Saya suka melihat matahari terbenam dan memandu, itu cara melepaskan stres.
Tiga fun fact yang ramai tidak tahu?
Cheerful person (ceria). Saya tidak boleh keluar rumah tanpa eyeliner (celak), itu wajib! Saya juga sukakan makanan dan minuman masam.
Siapa Alyaa dalam masa lima tahun akan datang?
Saya mengimpikan mempunyai jenama sendiri dalam bidang fesyen atau kecantikan. Saya juga mahu memberi inspirasi kepada orang lain supaya jangan takut mencuba bidang lain. Jika tidak cuba, kita tidak tahu akan potensi diri.














