fbpx
WAN ROSDY meninjau pameran sempena Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Majlis Daerah Lipis, Pahang 2035 (Penggantian) di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di Lipis hari ini.

Lipis, Raub jangan berada di zon selesa – MB Pahang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LIPIS – Daerah Lipis dan Raub yang tersenarai sebagai antara bandar paling bahagia di Malaysia supaya tidak terlalu selesa dengan kedudukan itu, sebaliknya terus mempertingkatkan mutu perkhidmatan serta kesejahteraan rakyat.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pengiktirafan yang diterima bukan lesen untuk berpuas hati sebaliknya satu amanah agar daerah terlibat terus menambah baik segala aspek yang diperlukan bagi mengekalkan status berkenaan.

“Saya berharap supaya Lipis ini akan kekal dengan bandar paling bahagia, sebabnya bila diumumkan Lipis ini bandar paling bahagia, bila kita daripada Lipis kita rasa bangga.

“Kita kena pertingkatkan lagi, daerah Lipis ini apa yang perlu kita baiki, kita baiki lagi sebab daerah-daerah lain pun sedang mengintai. Mereka pun nak jadi daerah paling bahagia.

“Satu Malaysia, bukan di Pahang, kita ada 150 daerah di seluruh negara dan di Pahang dapat dua (tersenarai bandar paling bahagia) iaitu Raub dengan Lipis. Jadi untuk kekal, jangan berada di zon yang selesa, jangan berpuas hati. Kita tambah baik lagi dan kita sokong apa yang kerajaan hendak buat yang terbaik untuk rakyat,”katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Majlis Daerah Lipis 2035 (Penggantian) yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, hari ini.

Menurut Wan Rosdy, pelbagai perancangan pembangunan akan digerakkan di daerah ini menerusi PLANMalaysia@Pahang bagi memastikan Lipis terus berkembang dengan identiti tersendiri serta menawarkan tarikan baharu kepada masyarakat dan pelancong.

Tambah beliau, pembangunan yang dirancang bukan sahaja bertujuan mengekalkan imej Lipis sebagai bandar paling bahagia, tetapi juga sebagai daerah yang progresif dan berdaya saing seiring perubahan masa dan kemajuan teknologi.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN