GEORGE TOWN – Tokoh pendidikan negara, Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dilaporkan mengalami kecederaan selepas dipercayai menjadi mangsa samun ketika pulang dari menunaikan solat subuh, pagi tadi.
Kejadian dipercayai berlaku berhampiran rumah beliau di Taman Pekaka, Sungai Dua di sini.
Difahamkan, beliau yang merupakan bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) dan bekas Rektor Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) menerima 15 jahitan di kepala selepas dihentak dengan pistol oleh suspek.
Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi hantaran di Facebook telah menyampaikan ucapan simpati terhadap kejadian menimpa beliau.
Selain itu, menerusi hantaran itu, turut dimaklumkan oleh ahli keluarga mangsa bahawa beliau berada dalam keadaan selamat dan sihat.
“Alhamdulillah. Beliau telah menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh di Hospital Pulau Pinang dan disahkan sihat oleh doktor di sana.
“Laporan polis juga telah dibuat berhubung kes tersebut, untuk makluman, dua orang anak beliau kini tinggal bersama di Pulau Pinang, jadi mereka tidak tinggal berdua sahaja.
“Insya-Allah jangan risau. Kami akan memaklumkan perkembangan lanjut setelah siasatan polis selesai bagi mengelakkan sebarang spekulasi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, seorang lelaki berusia 52 tahun telah ditahan dan akan direman pagi esok bagi membantu siasatan kes berkenaan.-KOSMO! ONLINE