fbpx
Kumpulan-kumpulan yang berjaya dalam program Legoland School Challenge 2025 bergambar kenangan dengan hadiah kemenangan masing-masing di Legoland Malaysia Resort, Tanjung Puteri, Johor baru-baru ini.

Dua sekolah Malaysia tawan Legoland School Challenge 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SORAKAN gemuruh bergema di Legoland Malaysia Resort, Iskandar Puteri, Johor saat nama pasukan Malaysia, Sekolah Kebangsaan Port Dickson (SKPD), Negeri Sembilan dan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gopeng, Perak diumumkan sebagai johan Legoland School Challenge 2025 baru-baru ini.

Pasukan-pasukan pemenang saling berpandangan, tidak percaya bahawa binaan mereka berjaya mencuri hati pihak juri, sekali gus menewaskan ratusan penyertaan lain dari seluruh Malaysia, Filipina dan China sebagai finalis.

Legoland School Challenge ialah pertandingan Lego sekolah terbesar di Asia.

SKPD muncul juara bagi Kategori Sekolah Rendah (peserta berusia 10 hingga 12 tahun), manakala Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gopeng pula muncul johan bagi Kategori Sekolah Menengah (peserta berusia 13 hingga 17 tahun).

Berkongsi dengan K-Remaja, Ketua Pasukan SKPD, Muhammad Zahin Qushayyi Noor Mohamad Ali, 12, berkata, mereka sama sekali tidak menyangka dinobatkan sebagai johan.

“Kami sudah cukup bersyukur dan teruja apabila berjaya menempatkan diri dalam top 5 kebangsaan sebelum ini, kerana peluang itu sendiri sudah dianggap satu pencapaian luar biasa.

“Namun, apabila nama pasukan kami diumumkan sebagai juara keseluruhan, suasana menjadi sebak, gembira dan penuh rasa syukur. Tiada kata mampu diungkapkan, hanya air mata kegembiraan yang menitis, tanda perjuangan kami selama ini tidak sia-sia.

“Ia satu rezeki dan penghormatan besar dapat mengharumkan nama SKPD dan Malaysia di pentas penuh prestij ini,” katanya.

Muhammad Zahin Qushayyi menambah, inspirasi bagi ciptaan kumpulannya datang daripada semangat ingin mencipta sesuatu yang bermakna.

Biarpun berdepan cabaran masa, kewangan dan ketahanan mental apabila terpaksa mengimbangi jadual persekolahan yang padat sambil menyiapkan hasil binaan yang adakalanya menguji kesabaran, namun semangat juang tinggi berjaya bawa pasukan ke pentas kejuaraan.

Guru Pembimbing SKPD, Mohd. Faizal Zakaria berkongsi penyertaan pasukannya dalam pertandingan itu telah memupuk minat mereka dalam bidang sains, teknologi dan kejuruteraan.

“Lego mengajar kami bahawa sains dan seni boleh bergabung menjadi sesuatu yang indah.

“Di sebalik warna-warna kecil itu tersembunyi logik kejuruteraan, prinsip fizik dan kreativiti teknologi.

“Kami mula memahami bagaimana struktur kukuh memerlukan keseimbangan dan pengiraan, bagaimana elemen Sains Teknologi, Kejururuteraan dan Matematik (STEM) seperti mekanikal, elektrikal dan digital boleh disatukan untuk menghasilkan karya yang bergerak, berlampu dan bernyawa,” katanya.

Ujar Mohd. Faizal lagi, dalam projek bertajuk Legend Inspire itu, air terjun yang mengalir, kipas berpusing dan cahaya berkelip bukan sekadar hiasan, ia lambang bahawa ilmu STEM boleh diterjemahkan dalam bentuk seni yang hidup.

“Pertandingan ini telah menyalakan minat mendalam terhadap dunia sains, teknologi dan kejuruteraan. Kami kini melihat setiap cabaran sebagai peluang untuk mencipta sesuatu yang baru dan bermanfaat,” katanya.

Dianjurkan buat tahun keempat, Legoland School Challenge 2025 menarik penyertaan hampir 2,000 pelajar dari tujuh buah negara iaitu Malaysia, India, Singapura, Filipina, Indonesia, Australia dan China. Setiap pasukan dianggotai empat peserta.

Tahun ini, ia membawa tema Build Your Dream Destination yang menguji daya kreativiti peserta dalam mencipta destinasi impian mereka menggunakan bongkah Lego.

Pemenang menerima hadiah bernilai lebih RM200,000 berupa trofi Lego, set eksklusif Lego, pas tahunan dan lawatan ke Korea Selatan.

Ujar Mohd. Faizal, dia bersama pasukan pemenang sekolah rendah dan menengah akan bertolak ke Korea Selatan pada 7 November depan.

Berkongsi kegembiraan sama, wakil pasukan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gopeng, Syahirah Abdul Rahman, 16, berkata, dia berasa sangat gembira atas kemenangan yang tidak dijangkakan itu, lebih-lebih lagi apabila dapat membawa nama Malaysia dan sekolah ke peringkat antarabangsa.

“Projek kami memfokuskan untuk mereplika bandar Santorini di Greece dan menzahirkan mitos dan lagenda Atlantis di sana.

“Merujuk kepada tema pertandingan pada tahun ini iaitu Build Your Dream Destination kami telah menyenaraikan beberapa tarikan pelancong di seluruh dunia dan destinasi legenda pada zaman purba.

SEKOLAH Berasrama Penuh Integrasi Gopeng dinobat johan bagi kategori sekolah menengah.

“Antara tempat-tempat yang menarik minat kami dalam projek ini ialah Venice, Itali; Taman Tergantung Babylon; Antartika dan banyak lagi. Selepas membuat penilaian kos dan tempoh masa yang kami ada, akhirnya Santorini menjadi pilihan terbaik kerana binaannya monotone memudahkan pemilihan bahagian-bahagian Lego yang diperlukan tetapi masih mempunyai nilai estetik dan keunikannya tersendiri,” ujarnya.

Bekerja dalam kumpulan datang dengan cabaran tersendiri, terutama apabila ahli pasukan berbeza pendapat sehingga menyebabkan berlaku sedikit ketegangan.

Begitu pun, Syahirah berkata, dia bersyukur apabila cabaran sebegitu akhirnya berjaya diatasi dan pasukan berjaya memberikan yang terbaik sehingga muncul johan kategori.

Bahkan, pendedahan kepada pertandingan berprestij itu juga memupuk minat kesemua ahli kumpulan dalam bidang sains, teknologi dan kejuruteraan.

“Berbekalkan variasi bahagian Lego yang berlainan dan terhad, kami perlu kreatif untuk memilih bahagian Lego yang sesuai supaya dapat menonjolkan keunikan seni bina bangunan dan keindahan alam di Santorini.

“Nasihat kami kepada murid-murid lain yang ingin menyertai pertandingan ini pada tahun hadapan ialah kuasai tema yang diberikan.

“Kemudian, lakukan sumbang saran idea masing-masing untuk menentukan idea yang terbaik sebelum direalisasikan serta pastikan juga pengurusan masa dan kewangan dirancang dengan teliti supaya proses pembinaan berjalan dengan lancar sehingga berjaya menterjemah atau menonjolkan idea dalam hasil akhir binaan Lego” katanya mengakhiri bicara.

Pengarah Jualan dan pemasaran Legoland Malaysia Resort, Thila Munusamy berkongsi bahawa Legoland School Challenge merupakan pertandingan Lego sekolah terbesar di Asia yang diwujudkan untuk mencetuskan kreativiti, semangat kerja berpasukan dalam kalangan peserta.

“Tahun ini, kami memperkenalkan beberapa pembaharuan menarik.

“Ini termasuk sebuah kategori umur baharu iaitu Junior (usia 7 hingga 9 tahun) supaya setiap pelajar dapat menyerlah secara adil serta Speed Build Challenge yang pertama, dengan finalis membina secara langsung dalam 45 minit di bawah tekanan masa. Ia menambah elemen keterujaan dan menguji keupayaan berfikir pantas mereka,” katanya.

Thila menambah, pemilihan tema tahun ini juga adalah sebagai memberi peluang kepada pelajar untuk berimaginasi dan mereka bentuk destinasi impian mereka dengan cara yang kreatif serta bermakna.

Ia bukan sahaja menggalakkan kreativiti, tetapi juga membantu mereka memahami bagaimana rekaan, teknologi dan inovasi memainkan peranan penting dalam membentuk dunia pelancongan pada masa hadapan.

Legoland Malaysia berpaksikan kepada falsafah Learning Through Play.

“Dalam Legoland School Challenge, pelajar bukan sekadar membina model Lego, malah mereka belajar berfikir secara kreatif, berkomunikasi dan bekerjasama untuk menyelesaikan masalah sebenar.

“Kami pastikan setiap aktiviti direka supaya seimbang antara pembelajaran dan keseronokan.

“Contohnya, Speed Build Challenge menguji keupayaan mereka berfikir pantas dan bekerja dalam tekanan, tetapi dalam suasana yang menyeronokkan dan penuh sokongan dari ibu bapa, para guru dan pengunjung Legoland Malaysia,” terang Thila.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN