fbpx
Wakil penganjur bergambar bersama sebahagian penerima anugerah TKA Musim Keempat yang berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas KLCC, Kuala Lumpur baru-baru ini. – ISKANDAR ISHAK

Tokoh, syarikat cemerlang dirai pada The Knights Award 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SERAMAI 36 tokoh serta syarikat cemerlang daripada pelbagai industri diraikan pada Anugerah The Knights (TKA) 2025 Musim Keempat yang mengiktiraf pencapaian luar biasa mereka dalam bidang kepakaran masing-masing.

Majlis berprestij itu berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas, Menara Berkembar Petronas, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) baru-baru ini.

TKA pada tahun ini julung kali dianjurkan bersama Commonwealth Youth Innovation Hub (CYIH) yang mewakili 56 negara anggota Komanwel.

Presiden TKA, Dr. Zyro Wong berkata, penganjuran tahun ini menyaksikan penyertaan ramai artis antarabangsa, sekali gus menyerlahkan kepelbagaian dan kreativiti dunia seni.

“Malaysia menjadi satu-satunya negara yang bekerjasama dengan Komanwel bagi penganjuran acara ini, sekali gus membuktikan keupayaan dan reputasi negara di peringkat antarabangsa,” katanya.

Anugerah dimulakan dengan kategori The Duke bagi individu perseorangan yang merangkumi saintis negara, Tan Sri Emeritus Prof. Datuk Dr. Augustine S. H. Ong; penyanyi balada Amerika Syarikat, Peabo Bryson; penerbit legenda, Datuk Dr. Yusof Haslam serta pengembara global yang menginspirasikan, Yusuf Hashim.

Bagi sektor korporat, kategori The Duke menobatkan Millennium Autobeyond Sdn. Bhd. sebagai Peniaga Paling Cemerlang Tahun Ini; Astro Awani (Suara Kepercayaan Negara); JDX Tea (Jenama Teh Cina Paling Dipercayai Sepanjang Zaman); Slim Doc (Pusat Pelangsingan Paling Dinamik Tahun Ini) dan Restoran Village Park (Restoran Warisan Negara Tahun Ini).

Sementara itu, kategori The Earl diberikan sebagai pengiktirafan berprestij kepada individu yang menunjukkan sumbangan luar biasa dalam bidang masing-masing.

Hasil kerja penerima anugerah kategori itu mencerminkan komitmen tidak berbelah bahagi terhadap kecemerlangan dan kelestarian.

Pemenang individu bagi kategori The Earl ialah Jenn Beaupre (Rozette) dari Kanada sebagai Jurulatih Vokal Sensasi Tahun Ini; Gabriel Henrique dari Brazil (Penyanyi Cemerlang Tahun Ini); Medhat Mamdouh dari Mesir (Beatboxer Cemerlang Tahun Ini); Datuk Amy Search (Ikon Rock Legenda Sepanjang Zaman); Wayne Lai dari Hong Kong (Raja Serba Boleh Pentas dan Layar) dan Lawrence Cheng Tan Shui dari Hong Kong (Hos Ikonik Sepanjang Zaman).

Dr. Zyro (dua dari kanan) bersama pemenang ikon Sukan Terunggul Tahun Ini, Tang Jie dan Ee Wei.

Turut meraih kemenangan ialah Jack Neo dari Singapura sebagai Penerbit Ikonik Sepanjang Zaman; Vic Teo dari Hong Kong (Artis Baharu Paling Menyerlah Tahun Ini); Foong Wai Leon (Pelakon Paling Diraikan Sepanjang Zaman); Datin Sri Aishah Chong (Usahawan Wanita Dedikasi Tahun Ini) serta Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei (Ikon Sukan Terunggul Tahun Ini).

Pemenang-pemenang lain, A Cut Above (Ikon Abadi Dunia Kecantikan dan Dandanan Rambut,);Yusuf Bhai (Jenama Minyak Wangi Paling Diminati Tahun Ini) dan Spacedollah (Pencipta Kandungan Edutainment Baharu Tahun Ini).

Dalam pada itu, Spacedollah atau nama sebenarnya Syed Abdullah berkata, dia tidak menyangka usahanya selama empat tahun dalam menjayakan platform pendidikan dan kandungan digital akhirnya membuahkan hasil yang membanggakan.

Menurutnya, perjalanan tersebut bukan sesuatu yang mudah kerana melibatkan pelbagai cabaran termasuk kekangan masa, tenaga serta usaha untuk membina kepercayaan dalam kalangan komuniti kreatif tempatan.

“Saya tak sangka terpilih kerana setelah empat tahun, kami mampu mencapai 500 juta tontonan pada setiap bulan.

“Misi kami adalah untuk mengubah dunia dengan menyediakan kandungan-kandungan berpendidikan untuk semua.

“Ini merupakan anugerah pertama saya. Kejayaan ini sudah tentu menjadi pembakar semangat kepada usaha seterusnya iaitu menghasilkan dokumentari tentang Mad Honey dan puak Aghori di seluruh dunia,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN