PETALING JAYA – Sebahagian Ibu bapa menggesa agar langkah keselamatan diperketat susulan kejadian tikaman yang mengorbankan seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, di sini hari ini.
Seorang ahli perniagaan, Nasir berusia 50-an, berkata, seramai empat orang anaknya dihantar ke sekolah tersebut sepanjang tujuh tahun lalu dan tidak pernah terfikir kejadian seperti itu boleh berlaku.
“Saya datang ke sekolah sekitar pukul 10 pagi untuk menghantar makanan kepada anak perempuan dan lelaki saya, dan terkejut apabila melihat beberapa pelajar telah dipindahkan keluar dari kawasan sekolah.
“Anak perempuan saya sangat terkejut. Dia hanya menangis tanpa henti dan tidak dapat ditenangkan pada waktu itu,” katanya ketika ditemui di hadapan sekolah, di sini hari ini.
Katanya, dia hanya mengetahui tentang kejadian daripada salah seorang rakan anaknya yang berada di sekolah.
“Ini memang sangat mengejutkan. Pertelingkahan antara pelajar memang biasa berlaku, tetapi tidak sangka boleh sampai kepada pembunuhan.
“Saya rasa langkah yang lebih ketat perlu diambil termasuk melakukan pemeriksaan mengejut secara berkala,” ujarnya.
Nasir berkata, beliau tidak bercadang untuk mengeluarkan anak-anaknya dari sekolah itu kerana tiada jaminan kejadian sebegini tidak akan berlaku di sekolah lain.
Sementara itu, Johari Hashim, 58, yang mempunyai anak kembar bersekolah di situ turut mengakui mengenai keperluan menambah langkah keselamatan.
“Sejujurnya, ini terlalu mengejutkan untuk dibayangkan. Zaman saya bersekolah dahulu, paling teruk pun hanya pergaduhan kecil. Sekarang pelajar sudah bawa senjata ke sekolah,” luahnya.
Dalam kejadian pukul 9.10 pagi itu, seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun ditemui maut di kawasan tandas dengan kecederaan akibat beberapa kesan tikaman pada badan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, suspek berusia 14 tahun telah ditahan dan dua senjata tajam dirampas di lokasi kejadian.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE