NASHVILLE, TENNESSEE – Seramai 18 mangsa yang hilang dipercayai maut dalam satu letupan besar yang menggegarkan sebuah kilang peluru di negeri Tennessee, Amerika Syarikat, lapor akhbar The Sun UK.
Kejadian berlaku di ibu pejabat Accurate Energetic Systems di Bucksnort, kira-kira 1 jam perjalanan ke barat Nashville kelmarin.
Gegaran daripada letupan itu turut dirasai sehingga beberapa kilometer.
“Lebih 300 orang telah memeriksa hampir setiap inci kemudahan ini. Pada masa ini, kami masih belum menemukan mangsa yang terselamat,” kata Syerif Daerah Humphreys, Chris Davis kepada pemberita.
Rakaman video menunjukkan kemudahan itu mengeluarkan asap tebal ke ruang udara, manakala beberapa kenderaan yang diletakkan di sekitarnya hangus dijilat api.
Davis menyifatkan kejadian itu sebagai salah satu insiden terburuk yang pernah dilihat sambil menambah, pihak berkuasa sedang melakukan siasatan dan berusaha untuk mengeluarkan mangsa yang terbunuh daripada serpihan.
“Ia tidak seperti bekerja dalam kemalangan atau puting beliung. Kami sedang berhadapan dengan letupan dan pada masa ini, kita berurusan dengan mayat,” kata Davis.
Beberapa agensi termasuk Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) serta Biro Alkohol, Tembakau, Senjata Api dan Bahan Letupan masih berusaha untuk menentukan punca letupan.
Operasi menyelamat bertambah sukar disebabkan kehadiran bahan letupan dan senjata lain di tempat kejadian. – AGENSI