SHAH ALAM – Kos pemandulan haiwan yang mencecah RM350 seekor menjadi faktor ramai pemilik kucing dan anjing tidak melakukan proses pengasian.
Pemilik kucing dikenali Norzamira, 32, berkata, proses pemandulan melibatkan beberapa peringkat termasuk suntikan vaksin sebanyak dua kali dengan kos satu suntikan berharga RM50.
“Itu belum lagi kos dirawat di dalam ‘wad’ dalam tempoh sehari sebelum proses pemandulan yang menelan belanja RM20.
“Kalau secara puratanya, kos pemandulan boleh mencecah RM320,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.
Kata pekerja swasta itu, setakat ini dia hanya mampu memandulkan seekor kucing betina daripada dua ekor yang dipeliharanya.
Seorang staf sebuah klinik veterinar swasta dikenali sebagai Nurul, kos pemandulan kucing jantan RM130 seekor, manakala kucing betina RM150.
Katanya, perbezaan harga disebabkan kucing betina memerlukan pembedahan kecil untuk membuang ovari dan uterus.
“Dalam sesetengah kes, hanya ovari yang dibuang dengan jahitan perlu dilakukan setelah pembuangan organ peranakan haiwan itu. Berbeza dengan prosedur kucing jantan lebih ringkas,” katanya.
Di Klang, seorang kakitangan sebuah klinik swasta memaklumkan pemandulan anjing boleh mencecah RM350 mengikut berat haiwan itu.
“Berat anjing mestilah di bawah 20 kilogram untuk kos sebanyak itu selain berdepan fizikal yang besar,”
katanya.
Ujarnya, pemandulan mempunyai banyak manfaat termasuk mengurangkan risiko kesihatan selain mengawal populasinya.
“Ini kerana lebih banyak anjing liar yang tidak diketahui status kesihatannya seperti tidak divaksin selain mendedahkan kita kepada jangkitan penyakit rabies.
“Terutamanya apabila terkena gigitan dan cakaran yang dapat menyebabkan luka selain infeksi bakteria,” katanya.
Ujarnya, populasi anjing yang banyak boleh mengganggu ketenteraman awam dari segi kebersihan atau terdedah bahaya apabila diserang haiwan liar itu.
Di Ipoh, seorang pemilik kucing, Rahayu Ridzuan, 43, berkata, dia membela kira-kira 10 ekor kucing yang diselamatkannya dari jalanan.
“Pada mulanya saya tidak kisah keluarkan duit sendiri untuk memandulkan kucing-kucing ini, namun lama-kelamaan setelah haiwan itu semakin banyak, beban mula dirasai.
“Kos memandulkan kucing di klinik haiwan sekitar RM145 seekor bagi kucing betina dan RM80 pula jantan,” katanya.
Rahayu juga kini terbeban dengan kos rawatan kucing yang menghidap demam, jangkitan kutu atau kulat serta luka dengan bil rawatan boleh mencecah ribuan ringgit.
Katanya, dia menghabiskan lebih RM500 sebulan untuk membela 10 ekor kucing itu.
“Tidak dinafikan ada yang rasa terbeban membuang haiwan peliharaan mereka,” katanya.














