SHAH ALAM – FWD Takaful akan menggiatkan usaha untuk mempromosikan dan meningkat kesedaran dalam kalangan masyarakat khususnya yang memiliki ahli keluarga orang kelainan upaya (OKU) untuk melanggan produk FWD SpecialMed 2.
Ini adalah satu-satunya produk takaful yang ditawarkan di negara ini oleh sebuah syarikat untuk membantu komuniti berkenaan mendapatkan perkhidmatan terbaik di hospital.
Ketua Pembangunan Produk dan Harga FWD Takaful, Faiz Hafizi Manap berkata, produk takaful ini telah dilancarkan sejak tahun 2024 dan sehingga kini terdapat 320 pelanggan yang mendapat manfaat daripada FWD SpecialMed 2.
“Kami kini aktif meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang kelebihan produk ini agar lebih ramai pelanggan OKU mendapat manfaat.
“Ia mudah kerana pelanggan hanya mendaftar di online dan kami akan membantu mendapatkan khidmat terbaik daripada pakej takaful yang ditawarkan.
“Sehubungan itu, kami optimis jumlah pelanggan ini akan bertambah dari semasa ke semasa seiring dengan inisiatif kami untuk meningkatkan kesedaran tentang produk ini semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Hari Komuniti Inklusif FWD Takaful di sebuah pusat beli-belah di sini baru-baru ini.
FWD SpecialMed 2 adalah pelan kad perubatan secara online yang dibangunkan khusus untuk memenuhi keperluan OKU dan mereka yang memerlukan keperluan khusus seperti kumpulan Sindrom Down, kurang upaya pembelajaran sederhana hingga pertengahan, kurang upaya penglihatan dan juga pendengaran.
Pelan ini akan menawarkan akses kesihatan dan rawatan perubatan serta tiada lagi berdepan dengan masalah kebimbangan yang dihadapi ketika berkunjung ke hospital yang selalu sesak dan terpaksa menunggu lama.
Melalui pelan FWD SpecialMed 2, pelanggan akan mendapat manfaat yang sebaiknya dengan menjalani kelangsungan hidup lebih bebas dengan hati yang lebih tenang. -KOSMO! ONLINE