fbpx
SETIAP pakaian terpakai akan dikelaskan secara automatik mengikut jenis fabrik seperti kapas, poliester selain turut boleh mengasingkan mengikut warna.

Mesin pertama dunia kelaskan bahan tekstil untuk kitar semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DUNIA fesyen dan tekstil kini berdepan cabaran besar dalam menguruskan sisa fabrik yang semakin meningkat saban tahun.

Dianggarkan sekitar 87 peratus daripada 92 juta bahan tekstil berakhir di tapak pelupusan atau dibakar pada setiap tahun, sekali gus menjadi penyumbang besar kepada masalah pencemaran global.

Dalam usaha menangani isu tersebut, satu inisiatif inovatif dikenali sebagai Siptex (Svensk innovations platform for textilsortering) muncul sebagai titik perubahan.

Dibangunkan syarikat pengurusan sisa di Sweden iaitu Sysav, mesin tersebut merupakan kemudahan perindustrian pertama di dunia yang mampu menyusun semula (sorting) tekstil secara automatik dalam skala besar.

Siptex menjadi sebahagian daripada usaha Sweden untuk menuju ekonomi bulat (circular economy) apabila projek tersebut dibiayai melalui sokongan kerajaan serta kerjasama sektor swasta, khususnya pemain fesyen dan agensi kitar semula tekstil.

Pembinaan kemudahan tersebut bermula sekitar 2019, sebelum beroperasi setahun kemudian.

Mesin tersebut merupakan solusi bagi menangani masalah pengumpulan dan pengurusan tekstil yang tidak dapat digunakan semula.

BUAT masa ini, mesin Siptex hanya beroperasi di Sweden.

Menurut Pengurus Projek Siptex, Anna Vinterskog, mesin tersebut dibangunkan bagi mengelak pakaian yang tidak sesuai digunakan semula berakhir sebagai sisa buangan.

“Sistem pengumpulan pakaian terpakai sebelum ini hanya mampu memisahkan pakaian berdasarkan keadaan luaran sama ada sesuai dipakai semula atau tidak.

“Disebabkan itu, kami hadir sebagai kemudahan pertama di dunia yang membolehkan tekstil disusun secara automatik pada skala industri bagi meningkatkan kitar semula tekstil secara besar-besaran.

“Tanpa penyusunan yang tepat, pengeluar tidak boleh mendapatkan bahan mentah dengan kualiti konsisten untuk pengeluaran baharu,” katanya memetik laporan Knowledge Hub.

Mengulas mengenai fungsi dan cara mesin itu digunakan, Vinterskog memberitahu, Siptex menggunakan teknologi Near Infrared (NIR) spectroscopy untuk mengenal pasti jenis serat dalam tekstil seperti kapas, poliester, campuran kapas-poliester dan lain-lain.

SELAIN komposisi bahan, mesin Siptex juga mampu membezakan warna pakaian.

Teknologi tersebut sama seperti yang digunakan dalam industri kitar semula plastik, tetapi kini diaplikasikan secara besar-besaran dalam sektor tekstil.

“Dari segi operasi, prosesnya bermula apabila pakaian terpakai dikumpulkan di pusat kitar semula atau organisasi pengumpulan pakaian.

“Bagi tekstil yang tidak sesuai dipakai semula, ia akan dihantar ke Siptex.

“Mesin ini akan menyusun tekstil secara automatik berdasarkan jenis serat, termasuk memisahkan tekstil kapas daripada poliester tulen.

“Begitu juga dengan membezakan warna dan bahan apabila teknologi Siptex mampu mengesan komposisi campuran bagi membolehkan fabrik dikelaskan secara tepat,” katanya.

Fabrik yang telah dipisahkan boleh dihantar ke syarikat pengeluar benang atau dikitar semula menjadi produk baharu.

Keupayaan menyusun tekstil itu mustahil dilakukan dengan tangan manusia secara efisien, memandangkan tekstil moden mengandungi pelbagai campuran serat.

“Kapasiti Siptex mampu mencapai 24,000 tan setahun, sekali gus menjadikan mesin itu sebagai tonggak penting dalam ekosistem tekstil kitar semula.

“Kewujudan Siptex membawa manfaat besar, bukan sahaja kepada Sweden, malah dunia.

“Mesin ini mampu mengurangkan sisa tekstil di tapak pelupusan yang mencecah jutaan tan pakaian.

“Kaedah ini juga dapat mempercepatkan proses tekstil lama untuk digunakan kembali sebagai bahan mentah baharu, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap sumber asli,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN