PETALING JAYA – Misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) x Thousand Madleens to Gaza (TMTG) mengambil berat keselamatan semua sukarelawan termasuk pasukan perubatan yang menyertai pelayaran menghantar bantuan ke Gaza.
Menerusi perkongsian di laman Facebook MyCare, Ketua Delegasi Malaysia, Dr. Mohd. Alauddin, memaklumkan bahawa salah seorang peserta, Dr. Fauziah Mohd. Hasan, mengalami kecederaan ringan ketika kapal bergoyang di tengah pelayaran.
“Semalam ketika kami sedang solat Jumaat, kapal bergoyang sedikit menyebabkan dia (Dr. Fauziah) terjatuh tersungkur sebab berjalan sambil memegang telefon.
“Kami dinasihatkan untuk berpegang atau berpaut pada pemegang kapal supaya tidak terjatuh. Namun, tiada kecederaan serius berlaku, hanya bengkak pada bahagian pipi,” ujarnya ketika temu ramah bersama MyCare.
Menurutnya, pelayaran memasuki hari kelima berjalan lancar dengan kapal kini berada kira-kira 350 batu nautika dari perairan pantai Gaza.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, dijangka memasuki lautan zon kuning dalam tempoh 24 jam dan zon merah dalam jangkaan tiga atau empat hari lagi.
“Mohon doakan kejayaan misi ini supaya ramai yang sedar dengan keadaan di Gaza. Selain, mendoakan supaya kita dapat sebuah negara Palestin yang merdeka,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE