LEGENDA badminton negara, Datuk Foo Kok Keong mengingatkan skuad badminton Malaysia masih kekal sebagai kuasa besar sukan itu, namun mengakui cabaran terbesar ketika ini terletak pada barisan perseorangan.
Bekas pemain nombor satu dunia itu melihat beregu negara, sama ada lelaki, wanita mahupun campuran semakin menunjukkan peningkatan ketara, manakala perseorangan perlu bekerja lebih keras untuk kembali bersaing di pentas tertinggi.
“Setakat ini badminton masih nombor satu di Malaysia. Saya lihat beregu lelaki semakin kuat, wanita dan campuran juga tidak kurang hebat. Tetapi untuk perseorangan, masih ada sedikit kekurangan dan saya harap pemain-pemain ini dapat bangkit,” katanya.
Beliau yang pernah membantu Malaysia menjulang Piala Thomas 1992, turut menekankan kerja keras dan disiplin menjadi kunci melahirkan juara dunia selepas ditemui pada Majlis Pelancaran ‘Malaysia Power’ di Arena Sukan, Kuala Lumpur baru-baru ini
“Saya harap mereka benar-benar cari pengalaman kerana analisis itu penting. Kita mesti kerja keras sebab dulu saya pun berlatih bersungguh-sungguh. Latihan sahaja tidak cukup, kena lebih keras, saya harap terutama pemain perseorangan, betul-betul kerja kuat,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan saingan dunia semakin sengit dengan banyak negara termasuk Eropah, Perancis, China dan Indonesia menampilkan bakat baharu yang sukar ditandingi jika pemain negara tidak menambah baik kualiti permainan.
“Sekarang bukan mudah, banyak negara sudah bangkit. Untuk lahirkan juara perseorangan, pemain Malaysia perlu kerja lebih keras dan jangan sekali-kali berputus asa,” katanya lagi.
Mengulas mengenai Sukan SEA Thailand 2025, Kok Keong mahu skuad negara mengekalkan semangat berpasukan yang pernah membantunya membawa pulang emas buat Malaysia pada edisi terdahulu. – KOSMO! ONLINE