SHAH ALAM – Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) ditemukan maut selepas jatuh dari tingkat 15 sebuah pangsapuri di Ken Rimba, Seksyen 16 di sini, semalam.
Kejadian itu menimpa mangsa tempatan berusia 46 tahun yang juga penghuni pangsapuri tersebut.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu kira-kira pukul 6.15 petang daripada orang awam yang melihat mangsa itu jatuh.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa merupakan penghuni pangsapuri berkenaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Semakan juga mendapati mangsa adalah pemegang kad OKU mental,” katanya hari ini.
Menurut beliau, pemeriksaan awal mendapati tiada kesan pergelutan atau kecederaan mencurigakan pada tubuh mangsa.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk proses bedah siasat yang dijadualkan pagi ini.
“Siasatan kes dijalankan di bawah laporan mati mengejut (SDR). Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd. Fildza Che Ibrahim di talian 016-9537372,” katanya. – KOSMO! ONLINE