LARUT – Seramai 202 orang penduduk melibatkan 65 buah keluarga di sekitar daerah Larut, Matang dan Selama terjejas dengan bencana banjir yang berlaku akibat hujan lebat di kawasan tersebut semalam.
Jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Perak berkata, sehubungan itu, kesemua mangsa tersebut ditempatkan di empat buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sini sejak malam semalam.
“Empat buah PPS yang dibuka berkenaan ialah PPS Dewan Serbaguna Taman Kaya yang menempatkan 31 orang mangsa dari Taman Pengkalan Makmur, Taman Pengkalan Setia dan Kampung Sentosa.
“PPS Sekolah Kebangsaan Simpang (106 mangsa) dari Taman Mawar dan Taman Simpang Makmur dan PPS Sekolah Kebangsaan Matang (19 mangsa) dari Kampung Matang Jambu serta Kampung Telok Kertang,” katanya di sini hari ini.
Sebuah lagi PPS yang dibuka, katanya, ialah PPS Sekolah Kebangsaan Matang Gelugor (46 mangsa) dari Taman Pengkalan Setia. – KOSMO! ONLINE