fbpx
Anggota KPDN membawa Ahmad Nizamuddin di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini. Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN / KOSMO!

‘Datuk John’ didakwa memiliki 15.4 tan minyak masak subsidi tanpa lesen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Seorang ahli perniagaan yang dikenali sebagai ‘Datuk John’ didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan memiliki sebanyak 15,483 kilogram (kg) minyak masak peket tanpa lesen atau permit sah.

Tertuduh, Ahmad Nizamuddin Setapa, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh selaku pemilik perniagaan John Bossku didakwa memiliki minyak masak peket 1 kilogram (kg) sebanyak 7,135 kg dalam keadaan syak munasabah dan melanggar peraturan berurusan secara borong atau runcit minyak masak peket tanpa lesen atau permit.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah premis di Kampung Nibong, Bachok dekat sini kira-kira pukul 4.40 petang pada 22 November 2022.

Bagi pertuduhan kedua, Ahmad Nizamuddin didakwa melakukan kesalahan sama dengan memiliki minyak masak peket 1 kg sebanyak 8,348 kg di hadapan Balai Polis Kota Bharu kira-kira pukul 9.15 malam pada 24 November 2022

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Edabayu Subhan bersama Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Muhammadi Iman Masjuri manakala tertuduh diwakili peguam Syed Muhammad Syafiq Syed Abu Bakar.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan iaitu tertuduh melapor diri pada Ahad pertama setiap bulan di pejabat KPDN Kelantan dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 29 Oktober depan untuk sebutan semula kes dan tertuduh membayar ikat jamin yang ditetapkan mahkamah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN