PETALING JAYA – Orang ramai mula berkongsi maklumat kuota penggunaan petrol RON95 susulan pelaksanaan Budi Madani RON95 (Budi95) yang bermula di seluruh negara, hari ini.
Dengan pelaksanaan rasmi subsidi bersasar tersebut, pengguna akan menerima notifikasi jumlah liter yang telah digunakan serta baki kuota subsidi bagi bulan semasa sejurus transaksi selesai di stesen minyak.
“Alhamdulillah, isi minyak Budi Madani RON95, bayar RM35 dapat minyak (petrol RON95) nilai RM45.73, jadi subsidi dapat RM10.73.
“Sebagai (golongan) B40, hati saya gembira. Terima kasih PMX (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim),” kata pemilik akaun Facebook Ahmad Muliady Ab Majid, hari ini.
Seorang lagi pengguna, Hamidi Noorkasih berkata, dia bersyukur kerana layak sebagai penerima Budi95 yang menjimatkan perbelanjaannya.
Menurutnya, dia mengisi petrol RON95 sebanyak RM40, tetapi mendapat sebanyak RM41.21 bagi 20.102 liter.
“Subsidi RM1.21. Alhamdulillah, orang beri kita guna. Orang berbudi, kita berbahasa,” katanya.
Abang Jaapar pula berkata, dia yang telah mengisi petrol RON95 mendapati pelaksanaan sistem Budi95 di stesen minyak berjalan dengan lancar.
Katanya, sistem tersebut ‘laju’, tetapi skrin pam minyak akan mempamerkan harga penuh iaitu RM2.60 seliter sekiranya menggunakan kad kredit.
“Ingat macam tak dapat subsidi, sedangkan bila tengok resit baru nampak beza harga,” katanya. – KOSMO! ONLINE