KOTA BHARU – Kecewa akibat dirogol dipercayai menjadi punca yang mendorong seorang remaja perempuan berusia 15 tahun terjebak kegiatan menawarkan perkhidmatan seks melalui aplikasi Telegram.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, kes tersebut disahkan berlaku di negeri ini susulan apabila ibu kepada remaja terbabit tampil membuat laporan polis baru-baru ini.
Menurutnya, kes tersebut sudah dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memandangkan remaja terbabit masih di bawah umur.
“Khidmat (tawaran seks melalui Telegram) itu memang berlaku. Pada awalnya, remaja terbabit merupakan mangsa rogol. Mungkin disebabkan rasa kecewa, benda ini berlaku. Ini satu kemungkinan dan kita masih belum dapat maklumat lanjut berapa lama tempoh remaja itu terlibat dengan kegiatan tersebut.
“Selain itu, kita juga menyiasat sama ada faktor kesusahan hidup atau aspek lain yang menyebabkan remaja terjebak dengan kegiatan tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri Sempena Perayaan Hari Keputeraan Sultan Muhammad V di Istana Balai Besar, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, pihak polis kini dalam proses mengambil keterangan daripada ibu bapa remaja berkenaan.
Media sebelum ini melaporkan, seorang ibu tunggal membuat laporan polis pada Sabtu lalu apabila mengesyaki anak perempuan berusia 15 tahun menawarkan perkhidmatan seksual melalui aplikasi Telegram.-KOSMO! ONLINE.