PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, merakamkan ucapan takziah di atas pemergian aktivis reformasi, Shariffuddin Budin atau lebih dikenali sebagai ‘Pak Hunter’, semalam.
Anwar berkata, Pak Hunter ialah seorang sahabat lama perjuangan serta aktivis rakyat yang telah banyak berkorban dalam arus perjuangan.
Menurut beliau, keteguhan dan kesetiannya pada perjuangan dan cita-cita membela rakyat tidak pernah luntur meski diuji dengan kezaliman.
“Allahyarham juga adalah antara insan yang tabah menempuh dugaan tatkala ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada tahun 1998, iaitu saat gelombang reformasi mula menyemarak.
“Buat keluarga besar Keadilan dan gerakan reformasi, kami bersedih atas pemergian beliau dan mendoakan segala amal bakti, pengorbanan dan perjuangannya dicatat sebagai amal soleh di sisi Allah SWT.
“Semoga keluarganya tabah dan roh Allahyarham ditempatkan di kalangan para solihin,” katanya menerusi media sosial, hari ini.
Pada Julai tahun lalu, Anwar tampil memberi sumbangan kepada Allahyarham yang ketika itu diserang strok sehingga membataskan keupayaan beliau bercakap, selain menderita pelbagai penyakit lain.
Anwar dalam satu hantaran di media sosial berkata, sumbangan itu disampaikan oleh Setiausaha Politik beliau, Ahmad Farhan Fauzi yang mewakilinya menziarahi aktivis itu. – KOSMO! ONLINE