LIPIS – Kerajaan negeri wajar memberikan kebenaran berupa lesen atau permit kepada penduduk di daerah ini bagi mengusahakan perlombongan emas secara kecil-kecilan di kawasan tanah milik mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long berkata, pemberian permit atau lesen itu juga dilihat penting bagi mengelak daripada ketirisan hasil kerajaan negeri akibat aktiviti perlombongan secara haram.
“Mereka (penduduk) ada tanah sendiri yang terbiar dan ada yang tidak sesuai untuk ditanam tanaman, tiba-tiba keluar emas yang sudah matang, takkan mereka nak pandang. Jadi mereka usahakan di tanah sendiri.
“Saya menyokong agar diberikan lesen perlombongan secara kecil-kecilan kepada penduduk yang mana saya telah bawa perkara ini ke Persidangan Dewan Undangan Negeri. Kalau tidak dibenarkan (melombong), cara untuk mengawal adalah dengan mengeluarkan lesen,” katanya di sini baru-baru ini.
Menurut Mustapa, pada dasarnya, pihaknya mencadangkan lesen melombong emas dalam skala kecil dilaksanakan terlebih dahulu di Mukim Kechau dan Mukim Gua di sini yang dipercayai mempunyai banyak emas.
Beliau memberitahu, perkara ini telah dimaklumkan dalam pembentangan belanjawan negeri sebelum ini dan dimaklumkan juga kepada pihak Pejabat Tanah dan Galian.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, pemberian lesen memberikan situasi menang-menang kerana dapat meningkatkan pendapatan penduduk dan memberikan hasil kepada kerajaan negeri.
Selain itu, kata beliau, ia juga bagi memastikan perlombongan dilakukan mengikut prosedur yang ditetapkan untuk mengelakkan pencemaran dan kesan kepada alam sekitar.
“Ia (pemberian lesen) juga bagi memastikan tiada individu luar dan tauke besar mengambil kesempatan dengan melombong di tanah milik penduduk,” katanya.














