LANGKAWI – Juara berbasikal lebuh raya kebangsaan, Muhammad Nur Aiman Rosli menjadi pelumba terbaik negara pada peringkat pertama Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 hari ini apabila menyambar jersi putih selaku pelumba terbaik Asia.
Pada perlumbaan mengelilingi Pulau Langkawi dengan jarak 96.7 kilometer (km) merangkumi tiga zon pecutan dan satu zon pendakian, pelumba berusia 26 tahun itu menamatkan kedudukan kedua dalam senarai pendahulu keseluruhan.
Aiman berkata, dia mengikut seperti apa dirancang apabila melakukan ‘breakaway’ sehingga berjaya mengumpul tujuh mata pecutan selepas memenangi zon pecutan pertama dan ketiga dalam zon pecutan kedua.
“Dalam perbincangan pasukan, memang ada dapat arahan untuk melakukan ‘breakaway’ dan terpaksa buatlah. Jadi, saya dapat tempat pertama sebanyak dua kali dan sekali di kedudukan ketiga.
“Oleh itu, saya harap untuk menampilkan aksi terbaik dalam perlumbaan esok. Hari ini berlumba dalam keadaan hujan, sama seperti tahun lalu, oleh itu saya sudah biasa,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlumbaan hari ini.
Sementara itu, Aiman menjelaskan, cabaran LTdL baru sahaja bermula dan dia perlu berwaspada dengan ancaman pelumba-pelumba handalan lain dalam perlumbaan-perlumbaan akan datang.
Dia juga mahu menyimpan tenaga pada perlumbaan hari ini bagi mengekalkan kayuhan terbaik pada peringkat ketiga, Selasa ini dari Gerik ke Pasir Puteh yang melibatkan tiga zon pendakian.
“Esok kemungkinan penamat beramai-ramai, jadi saya akan cuba bantu pasukan dan simpan kaki (tenaga) untuk aksi lebih mencabar di Gerik nanti. Itu adalah sasaran utama saya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE