fbpx
Wan Rosdy

S-GLC Pahang teruskan rekod prestasi membanggakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUANTAN – Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (S-GLC) Pahang terus menunjukkan prestasi cemerlang, konsisten dan berdaya saing dalam menyumbang kepada pembangunannegeri, menyaksikan sehingga kini, terdapat sembilan syarikat induk dan 48 anak syarikat yang beroperasi aktif.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, prestasi kewangan S-GLC Pahang semakin kukuh apabila hasil meningkat daripada RM2.4 bilion pada 2023 kepada RM3 bilion pada 2024 dengan keuntungan bersih mencecah RM616 juta.

“Pulangan langsung kepada kerajaan negeri juga melebihi RM135 juta, dengan aset bertambah kepada RM9.7 bilion serta liabiliti berjaya diturunkan kepada RM3.6 bilion.

“Sejak 2019 hingga 2024, S-GLC telah menyalurkan sebanyak RM545 juta kepada kerajaan negeri, sekali gus memperkukuh kedudukan kewangan negeri.

“Pada 2024 juga, sumbangan S-GLC kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Pahang berjumlah RM3.16 bilion atau 4.6 peratus daripada nilai keseluruhan RM68.7 bilion, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi negeri pada kadar 5.7 peratus, melebihi kadar pertumbuhan nasional iaitu 5.1 peratus,”katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, dalam sektor pelaburan pula, pencapaian pelaburan negeri Pahang sehingga 23 September 2025 ialah RM17.434 bilion, melepasi sasaran tahun ini iaitu RM14.093 bilion.

Katanya, kejayaan itu bukan sahaja menjana keuntungan, tetapi turut mewujudkan lebih 6,000 peluang pekerjaan, melaksanakan pelbagai projek pembangunan, dan memberi manfaat langsung kepada rakyat.

“Di samping itu, bersempena Persidangan S-GLC Pahang 2025, saya turut melancarkan Program Pahang Startup Roadmap 2030 yang merupakan inisiatif strategik negeri untuk membangunkan ekosistem startup yang kukuh, dengan sasaran melahirkan 429 syarikat baharu, menjana RM4.6 bilion nilai ekonomi serta mewujudkan 5,362 peluang pekerjaan.

“Saya yakin dengan komitmen berterusan semua pihak, S-GLC Pahang akan terus memacu pertumbuhan ekonomi negeri, memperkukuh pendapatan kerajaan negeri, mempertahankan kemakmuran rakyat, serta meningkatkan keyakinan pelabur terhadap Pahang,”ujarnya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN