KUALA TERENGGANU – Tindakan pihak tertentu memasang palang tempat letak kenderaan di laluan masuk Pulau Warisan di sini tanpa kebenaran membawa padah apabila ia disita Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) malam tadi.
Operasi pada pukul 9.45 malam itu di destinasi riadah terkenal di bandar raya ini tersebut diambil pasukan penguat kuasa MBKT setelah mendapat aduan ramai termasuk Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim.
Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Jusman Ibrahim berkata, pemasangan palang tempat letak kereta tersebut dilakukan tanpa kebenaran MBKT.
Beliau berkata, ia merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 46(1)(a) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
“Siasatan awal mendapati pemasangan palang tersebut merupakan inisiatif pemilik tapak terbabit untuk menghalang kemasukan kenderaan komersial yang tidak mendapat kebenaran dan selalu diletakkan secara bebas sebelum ini.
“Apapun, tindakan sita telah diambil dan MBKT telah mengarahkan agar struktur palang tersebut dialih atah dirobohkan segera,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Terdahulu pemasangan palang tempat letak kenderaan itu sejak Jumaat lalu berkenaan telah menimbulkan polemik ekoran Pulau Warisan yang menjadi lokasi perniagaan kecil dan makanan sering menjadi tumpuan ramai untuk bersantai pada waktu malam dan hujung minggu.
Difahamkan, kawasan milik Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) tersebut telah dipajakkan kepada sebuah syarikat bagi tempoh 30 tahun bermula 2021. – KOSMO! ONLINE