SHAH ALAM- Kementerian Kesihatan (KKM) menyangkal dakwaan bedah siasat ke atas pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin dilakukan oleh pegawai perubatan Hospital Kota Tinggi (HKT), Johor.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Mahathar Abd Wahab berkata, proses itu dilakukan di Hospital Sultan Ismail pada 28 Julai lalu mengikut prosedur yang ditetapkan selepas menerima arahan melalui Surat Polis 61.
“Kes dirujuk kepada pakar patologi forensik dan jasad (Syamsul Haris) dibawa ke HSI yang mempunyai fasiliti lengkap bagi memastikan pemeriksaan dilakukan secara menyeluruh dan terperinci.
“Bedah siasat dilakukan oleh pegawai perubatan di Jabatan Perubatan Forensik HSI, bukannya pegawai perubatan HKT seperti didakwa.
“Walaupun bedah siasat dilakukan oleh pegawai perubatan, semua kes bedah siasat forensik sentiasa berada di bawah pemantauan pakar patologi forensik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kosmo! semalam melaporkan Peguam Naran Singh meminta penjelasan berhubung pihak yang membenarkan seorang pegawai perubatan HKT menjalankan bedah siasat ke atas Syamsul Haris, 22, pada Julai lalu. – KOSMO! ONLINE