fbpx
Menariknya model #5 hadir dengan rekaan unik empat lampu kecil sebaris melintang di bahagian hadapan dan belakang.

EV Smart #5 rekaan lebih berkotak bawa aura maskulin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SELARAS ke arah teknologi hijau dan permintaan global, kenderaan elektrik (EV) kini hadir bagai cendawan tumbuh selepas hujan dengan rekaan menarik dan spesifikasi terkini.

Terbaharu Proton New Energy Technology Sdn. Bhd.(Pro-Net) selaku pengedar dan pengimport rasmi jenama Smart di Malaysia telah meluaskan tawaran EV menerusi pengenalan model Smart #5.

Smart #5 ialah sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik mewah yang bukan sahaja memikat pandangan dengan bentuk futuristik tetapi melangkaui jarak jauh dan prestasi hebat.

Dihasilkan melalui kolaborasi global antara pengalaman Mercedes-Benz dan keupayaan inovatif Geely, model ini menawarkan kombinasi sempurna antara gaya, teknologi dan kecekapan.

Selepas membuat kemunculan pertama di Pameran Automotif Malaysia (MAS) 2025 baru-baru ini Pro-Net telah menjemput pihak media untuk melihat Smart #5 dengan lebih dekat.
Ia EV ketiga diperkenalkan Pro-Net selepas Smart #1 dan Smart #3.

Smart #5 dijangka dilancarkan secara rasmi tahun ini sekali gus merancakkan penawaran EV premium di pasaran.

Pada sesi khas bersama media itu, dua varian #5 telah dipamerkan iaitu Premium dan Brabus.

Salah satu tarikan utama Smart #5 ialah reka bentuk berkotak yang memberikan aura maskulin dengan sentuhan futuristik.

Menariknya, model #5 hadir dengan rekaan unik empat lampu kecil sebaris melintang di bahagian hadapan dan belakang yang menjadikan SUV premium ini nampak lain dari lain serta dilengkapi lampu utama matrix LED Cyberlight.

Apa yang membezakan varian Premium dan Brabus adalah dari segi rekaan bampar apabila Brabus tampil lebih sporty dengan perincian merah.

Perincian merah turut hiasi bahagian lain dalam varian Brabus seperti landasan di bumbung dan kaliper brek.

Ruang dalaman di bahagian pemandu tampak mewah dan premium.

Ciri lain yang menjadikan #5 nampak moden dan premium ialah pintu tanpa bingkai, pemegang pintu tersembunyi dan logo roda terapung.

Selain itu, bumbung panaromik seluas 1.7 meter dengan bidai penghadang berkuasa elektrik melengkapkan pengalaman kabin kelas pertama.

Dari segi dimensi, #5 berukuran 4,695 milimeter (mm) panjang, 1,920mm lebar, 1,705mm tinggi dengan jarak antara roda 2,900mm.

Ruang but pula berkapasiti sehingga 1,530 liter apabila tempat duduk belakang dilipat.

Meninjau ke ruangan kabin, rekaannya nampak minimalis tetapi eksklusif dengab ciri-diri digital.

Smart #5 Premium dan Brabus menawarkan suasana mewah dengan kemasan kulit Nappa, trim kayu asli Itali dan 90 peratus bahagian dalaman menggunakan bahan sentuhan lembut.

Sistem infotainment terdiri daripada dua skrin OLED bersaiz 13 inci bersama paparan AR Head-Up Display 25.6 inci yang menawarkan pengalaman digital futuristik.

Untuk keselesaan, kerusi baris kedua hadir dengan fungsi ‘Boss Button’ dan pelarasan sudut 10 darjah menjadikan perjalanan jauh lebih selesa.

Sementara itu sistem audio 20 pembesar suara Sennheiser dengan Dolby Atmos dan pembesar suara auto-lif memberi pengalaman audio yang baik.

Ciri menarik lain #5 ialah suis tailgate (bonet belakang) kereta menampilkan suis tersembunyi dengan menekan butang ‘a’ pada lencana Smart ia akan terbuka secara automatik iaitu signatur bagi Smart.

Varian Premium dilengkapi bateri Nickel Cobalt Manganese (NCM) berkapasiti 100 kWh dengan jarak gerak sehingga 590km mengikut WLTP dengan pengecasan penuh.

Motor elektriknya menghasilkan kuasa sehingga 267kW dan tork 373Nm yang menghasilkan pecutan dari pegun hingga 100 km/j dalam 6.5 saat.

Dengan pengecasan pantas 800V, bateri boleh dicas dari 10 ke 80 peratus hanya dalam masa 15 minit.

Bagi varian Brabus, ia lebih berprestasi dengan kapasiti bateri yang sama seperti Premium dengan jarak 540km (WLTP).

Varian Brabus merupakan versi pacuan dua roda (AWD) menghasilkan 475kW dan tork 710Nm. Ini menjadikan #5 salah satu SUV elektrik paling berprestasi dalam kelasnya dengan pecutan Brabus dari pegun hingga 100km/j hanya 3.8 saat dengan kelajuan maksimum 210km/j.

Ia turut menawarkan mod pemanduan tambahan termasuk Snow, Sand, Mud, Rock, Adaptive dan mod khas Brabus.

Brabus juga hadir dengan suspensi sport dan simulasi bunyi enjin.

Buat masa ini, harga kereta SUV elektrik premium ini masih belum didedahkan, tetapi harganya dijangka lebih mahal daripada dua model Smart sebelum ini.

Kesimpulannya, Smart #5 adalah pilihan bijak bagi pengguna yang mahukan EV dengan reka bentuk menarik dan dilengkapi teknologi masa depan.

Malah, #5 dilihat praktikal untuk kegunaan harian dan gaya hidup aktif dengan ciri mewah futuristik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN